sukan@hmetro.com.my
Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) enggan menjadikan rekod kemenangan ke atas Sabah FC di laman sendiri sebelum ini sebagai ukuran meyakinkan menjelang pertembungan dengan pasukan itu di pusingan kedua Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.
Ketua jurulatih interim NSFC, K Rajan sebaliknya sudah merencanakan pendekatan taktikal yang telah ditambah baik bagi mendapatkan keputusan positif di gelanggang lawan itu.
“Kemenangan ke atas Sabah FC, 3-0, sebelum ini di Paroi tidak akan diambil kira kerana perlawanan itu sudah lepas, dan kita akan lakukan persiapan terbaik bagi menghadapi perlawanan malam esok. Kita akan berikan tumpuan perlawanan demi perlawanan pada baki saingan liga musim ini.
“Dengan Sabah kini dibimbing jurulatih baharu, jadi kita pun tidak tahu macam mana taktikal dan formasi mereka, tetapi sebagai jurulatih, saya sudah siapkan pasukan NSFC dengan keadaan mental dan fizikal yang terbaik untuk sistem baharu ini,” kata Rajan, hari ini.
Beliau yang menggalas tanggungjawab selaku pengendali baharu skuad Hobin Jang Hobin susulan peletakan jawatan Nidzam Jamil, menegaskan pihaknya merangka pelan permainan yang lebih segar bagi menyerap asakan dan menyerang kubu pasukan lawan.
Menurut pengendali berusia 45 tahun itu, kesemua anak buahnya berada dalam keadaan tahap fizikal terbaik dan bersedia untuk diturunkan kecuali pemain tengah, Yuichi Hirano yang menghadapi penggantungan satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Imigresen FC, minggu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




