PPZ-MAIWP kutip zakat RM758.88 juta sepanjang tahun lalu

PPZ-MAIWP kutip zakat RM758.88 juta sepanjang tahun lalu

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berjaya meningkatkan kutipan zakat tahun lalu sebanyak RM758.88 juta melalui kempen yang dijalankan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, dari segi wakaf, jumlah yang berjaya dikutip adalah sebanyak RM4.16 juta sepanjang kempen dijalankan tahun 2025.

“Insya-Allah pada tahun ini, kami akan melihat dan menambah lagi (jumlah kutipan zakat dan wakaf) kalau ada kempen yang kita rasakan sesuai.

“Ia untuk kita memberi kesedaran pembayaran zakat dan juga wakaf ini kepada masyarakat Islam,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen PPZ-MAIWP di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Majlis ini bagi meraikan pemenang yang menyertai kempen PPZ-MAIWP tahun lalu, selain sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen berterusan pembayar zakat dan wakaf.

Seramai 1,644 pembayar zakat dan wakaf terpilih sebagai pemenang bagi sembilan kempen yang dilaksanakan pada tahun lalu.

Menerusi majlis ini, lebih 40 individu yang juga pembayar zakat dan wakaf PPZ-MAIWP diumumkan sebagai pemenang utama merangkumi sembilan kempen itu.

Majlis ini turut memberikan penghargaan kepada tiga pembayar setia yang konsisten menunaikan zakat di PPZ-MAIWP sejak awal penubuhannya dengan menerima satu dinar emas dan jambangan bunga.

Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, bagi tahun ini juga, sembilan projek wakaf dijangka dilaksanakan merangkumi pelbagai sektor seperti pendidikan, keagamaan, kesihatan dan sebagainya.

Menurutnya, pihaknya juga merancang untuk melaksanakan kira-kira 40 lagi projek wakaf.

“Keseluruhan kutipan yang diperlukan kira-kira RM430 juta. Mungkin ia akan mengambil masa agak panjang (dari segi kutipan),” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang pembayar setia zakat di PPZ-MAIWP, Azlina A Rashid, 53, berkata, dia konsisten membayar zakat sejak tahun 2001 kerana tanggungjawabnya sebagai seorang Islam.

“Konsisten itu disebabkan kita anggap zakat ini adalah tanggungjawab kita sebagai seorang Islam.

“Jadi bila anggap tanggungjawab dan kewajipan, kita sebagai seorang Islam yang patuh kepada agama akan membayar zakat walaupun selepas sudah bersara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top