PETALING JAYA: Tropicana Corporation Bhd. mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM118.83 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 iaitu 43 peratus lebih rendah berbanding RM208.52 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2024.
Syarikat itu juga berjaya mengurangkan kos kewangan menerusi strategi berterusannya untuk menurunkan jumlah hutang keseluruhan melalui inisiatif pengewangan aset.
Hasil terkumpul meningkat 6 peratus kepada RM1.5 bilion, didorong oleh kemajuan pembinaan yang lebih pesat di perbandaran utama di Lembah Klang serta wilayah Selatan dan Utara.
Kos kewangan pula susut 19.7 peratus kepada RM140 juta daripada RM174.34 juta pada tahun kewangan 2024.
Tiada dividen diisytiharkan.
Prestasi tahunan yang bertambah baik ini dicapai walaupun suku keempat mencatatkan kerugian bersih RM56.23 juta, berbanding keuntungan bersih RM211.93 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya.
Kumpulan menjelaskan bahawa suku tahun sebelumnya mendapat manfaat penjimatan sekali sahaja daripada obligasi perumahan kos rendah, keuntungan pelupusan beberapa lot tanah, serta penjualan Tropicana Gardens Mall pada Disember 2024.
Ketiadaan pendapatan berulang daripada pusat beli-belah tersebut turut menjadi antara faktor penyusutan hasil suku tahunan sebanyak 9.7 peratus kepada RM478.48 juta berbanding RM529.73 juta, selain bil kemajuan yang lebih perlahan.
Tropicana memaklumkan bahawa kumpulan kini berada pada kedudukan strategik untuk mempercepatkan pertumbuhan, disokong oleh pembangunan semasa dan akan datang dengan gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM7.5 bilion.
Jualan belum dibil berjumlah RM2 bilion, yang menurutnya memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh dan menyokong prestasi kewangan yang mampan.
Menurut pihak Tropicana, peningkatan ini mencerminkan kunci kira-kira Kumpulan yang lebih kukuh, didorong oleh kejayaan inisiatif pengurangan hutang dan pelupusan aset bagi mengurangkan pinjaman.
“Ketika kami beralih dari 2025 ke 2026, Tropicana berada pada kedudukan strategik untuk mempercepatkan pertumbuhan, disokong oleh pembangunan sedia ada dan akan datang dengan GDV melebihi RM7.5 bilion.
“Kempen strategik kami yang menampilkan pembangunan ikonik di lokasi hartanah utama di seluruh Malaysia akan menjadikan pemilikan rumah lebih mudah diakses sambil mengekalkan minat pasaran yang kukuh.
“Selaras dengan misi kami untuk mentransformasikan Tropicana menjadi kumpulan yang bersedia untuk masa hadapan dan berfokus kepada pertumbuhan mampan, kami telah memberi keutamaan kepada pengukuhan segmen hartanah teras melalui model aset ringan (asset-light), memanfaatkan kepakaran pembangunan, DNA pembangunan tersendiri serta komitmen ESG yang kukuh,” katanya. -UTUSAN




