IPOH: Dua lelaki yang terjatuh ke dalam Empangan Sultan Azlan Shah di Ulu Kinta, di sini hari ini, dengan seorang daripadanya dikhuatiri lemas, disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di pencawang empangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian curi kabel di kawasan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di empangan tersebut pada pukul 12.40 tengah malam.
Katanya, dalam tempoh 10 minit, Balai Polis Tanjung Rambutan pula menerima maklumat mengenai kejadian seorang lelaki dipercayai lemas berhampiran lokasi sama.
“Berdasarkan maklumat awal, dua lelaki disyaki mencuri kabel sebelum salah seorang daripada mereka terjatuh dan dikhuatiri lemas, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan selepas terperangkap di tebing empangan.
“Suspek yang terselamat telah ditahan bagi membantu siasatan. Operasi mencari dan menyelamat rakannya oleh pihak bomba masih dijalankan, namun setakat ini belum menemui mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan, sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihak empangan memberitahu terdapat dua lelaki berada di kawasan tersebut dengan seorang daripadanya tenggelam dan seorang lagi berada di permukaan air.
“Ketua Operasi menjalankan penilaian awal sebelum mengaplikasikan konsep Saver dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan ‘bouya’ yang dibaling kepada mangsa di permukaan air.
“Mangsa berusia 34 tahun yang berjaya dicapai dibawa naik ke pelantar sebelum dinaikkan ke kawasan atas empangan yang berketinggian kira-kira 30 kaki menggunakan sistem tali,” katanya.
Tambahnya, seorang lagi mangsa berusia 32 tahun yang dipercayai tenggelam masih belum ditemui dan operasi mencari serta menyelamat sedang sedang dijalankan. – UTUSAN




