Sembilan rumah musnah dalam kebakaran di Semporna

Sembilan rumah musnah dalam kebakaran di Semporna

Semporna: Seorang wanita ditemukan tidak sedarkan diri dalam kejadian kebakaran membabitkan sembilan rumah, sebuah kedai runcit serta stor barangan di Jalan Pinggir Bakau di sini tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Rastam Keladi berkata, mangsa Imang Aspal, 53, diberikan rawatan awal oleh pasukan perkhidmatan penyelamat perubatan kecemasan (EMRS) Bomba sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.

“Kami menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada 1.51 tengah hari dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian dua minit kemudian. Anggaran keluasan kebakaran ialah 390 kaki x 180 kaki persegi.

“Tiga jentera bergegas ke lokasi membabitkan 21 anggota bomba termasuk enam anggota bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Air Semporna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rastam berkata, operasi pemadaman api menggunakan dua pancutan air dari 500 kaki aliran hos, selain sumber air daripada pili bomba berdekatan.

Beliau berkata, operasi pemadaman tamat pada 5.30 petang dan setakat ini punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top