am@hmetromcom.my
Kuala Terengganu: Pusat karaoke dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam berkuatkuasa serta merta.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, arahan pengoperasian Pusat Karaoke sehingga jam 10 malam bukan hanya terpakai di sepanjang bulan Ramadan, sebaliknya pada bulan lain.
Katanya, PBT sudah diarah untuk membuat penyeragaman semula pengoperasian pusat karaoke di seluruh negeri, terutama membabitkan masa operasi.
“Sebelum ini, kerajaan membenarkan operasi pusat karaoke di seluruh negeri bermula jam 10 pagi hingga 1 pagi, melainkan pada hari Jumaat.
“Kita banyak menerima aduan mengenai tempoh operasi yang disingkatkan daripada 16 jam kepada hanya 13 jam,” katanya kepada media, di sini, semalam.
Terdahulu, Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Wakaf Mempelam merasmikan program selepek sahur di tapak payang walk di Dataran Shah Bandar, di sini, semalam.
Yang turut hadir adalah Datuk Bandar MBKT, Lizan Che Mat dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAZ) negeri, Mazshidal Roslal.
Wan Sukairi berkata, semua pusat karaoke di seluruh negeri hanya dibenarkan beroperasi bermula daripada jam 10 pagi hingga 10 malam.
“Kita memutuskan untuk tidak melanjutkan tempoh operasi sehingga jam 1 pagi seperti dituntut oleh pengusaha pusat karaoke.
“PBT juga diarah untuk membuat penyeragaman semula tempoh operasi semua pusat karaoke di seluruh negeri,” katanya.
Wan Sukairi berkata, masa pengoperasian pusat karaoke yang dikeluarkan sebelum ini bercelaru kerana ada tempat beroperasi sehingga jam 10 malam dan ada beberapa tempat beroperasi sehingga jam 1 pagi.
“Semua pusat karaoke atau tempat hiburan keluarga masih dibenarkan beroperasi pada bulan Ramadan, tetapi sehingga jam 10 malam dan bukannya sehingga jam 1 pagi,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, hanya satu pusat karaoke yang terletak di sebuah pasar raya tidak dibenarkan beroperasi sepanjang bulan Ramadan.
“Pengusaha pusat karaoke yang gagal mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11 (2), Enakmen Hiburan di Tempat Hiburan 2002.
“Jika disabitkan kesalahan, pengusaha pusat karaoke boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



