Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bersama Suria FM menganjurkan program “Sehari Berbakti, Sejiwa Bererti” bersempena Ramadan di Surau Al Munir, Taman Sri Nanding, di sini.
Program berkonsepkan khidmat komuniti itu menghimpunkan staf NAFAS bersama ahli peladang, penduduk setempat serta wakil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Hulu Langat dalam suasana kebersamaan dan pengukuhan silaturahim.
NAFAS, Suria FM santuni komuniti Hulu Langat

Aktiviti dimulakan dengan gotong-royong membersihkan surau, jualan produk peladang, sesi Temu Peladang, serta rewang penyediaan bubur lambuk bersama komuniti setempat bagi menyemarakkan ukhuwah dan semangat Ramadan.





Menurut Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin, pendekatan turun padang itu memberi ruang interaksi secara langsung antara organisasi peladang dan masyarakat, selain memperkukuh hubungan bersama ahli peladang di peringkat kawasan.
“Pendekatan ini turut menjadi platform untuk memahami keperluan komuniti serta memperkukuh peranan NAFAS dalam menyokong pembangunan sektor pertanian di peringkat akar umbi,” katanya.

Program itu turut menampilkan sesi Temu Peladang NAFAS bersama PPK Hulu Langat sebagai ruang dialog dua hala bagi membincangkan isu serta perkembangan semasa sektor pertanian setempat.



Hadir sama memeriahkan majlis, Mohd Sany Hamzan, Ahli Parlimen Hulu Langat; Johan Abdul Aziz, ADUN Dusun Tua; Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin; serta Tuan Haji Mohd Yusof Harun, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Hulu Langat.

Artikel lain: NAFAS catat keuntungan tertinggi! Lancar pelan reformasi 2026–2030, perkukuh tadbir urus
Bubur lambuk yang disediakan secara bergotong-royong kemudiannya diagihkan kepada penduduk sekitar dengan penyertaan barisan penyampai radio Suria FM di perkarangan surau serta bazar berhampiran, sekali gus menyemarakkan penghayatan Ramadan.




Sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan, sumbangan duit raya turut disampaikan kepada 25 anak yatim yang diraikan serta 225 kanak-kanak yang hadir memeriahkan program tersebut.


Turut disumbangkan peruntukan RM8,000 kepada pihak surau bagi menyokong pelaksanaan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di kawasan tersebut.

Program seumpama itu akan terus diperkasa sebagai inisiatif pembangunan komuniti, pengukuhan jaringan bersama ahli peladang serta mempertingkat peranan NAFAS dalam memacu sektor pertanian negara.




