syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza tegas bersuara berhubung kejadian seorang individu memijak kitab al-Quran, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Siti mengakui terkesan dengan tindakan individu itu dan jika dibiarkan, boleh merosakkan moral generasi akan datang.
“Saya secara peribadi, amat terkesan dan berdukacita dengan tindakan melampau seorang individu yang tergamak menghina serta memijak naskhah suci al-Quran sebagaimana yang tular, baru-baru ini.
“Perbuatan itu menggambarkan hilangnya nilai adab dan hormat dalam diri manusia yang jika dibiarkan, akan merosakkan moral generasi akan datang.
“Negara kita mempunyai undang-undang dan peraturan yang jelas. Justeru, kami berharap agar perbuatan si pelaku dikenakan tindakan serta hukuman yang setimpal mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” tulisnya.
Selain Siti, penyanyi Shiha Zikir turut merasai perkara sama dan berpendapat individu itu wajar dikenakan hukuman setimpal.
“Di mana pengecut ini bersembunyi? Tak pernah sebarang penjelasan! Individu seperti ini wajar dikenakan hukuman yang setimpal dengan segera!” tulisnya.
Pendakwah, Haris Ismail atau PU Riz turut meluahkan rasa marah menerusi hantaran video yang dimuat naik di platform media sosialnya.
“Baru-baru ini, tular dalam bulan Ramadan, seorang individu yang memijak al-Quran dan ini perkara yang sangat-sangat menyakitkan hati umat Islam.
“Dan orang itu bukan sahaja memijak al-Quran, dia juga memuat naik perkara yang dilakukan dalam media sosial. Ini juga satu penghinaan terbesar satu orang itu boleh buat kepada orang lain dalam konteks agama.
“Kalau tuan-tuan yang menonton ini tak ada rasa marah atau geram, mungkin tuan-tuan bukanlah manusia yang normal. Itu jujur apa yang saya katakan,” katanya.
Haris juga berkongsi pendapatnya dari sudut pandang agama dan juga berkongsi mengenai insiden terdahulu yang membabitkan tiga penyampai radio pada tahun lalu.
Terdahulu, media sosial digemparkan dengan tindakan seorang individu yang memuat naik kandungan memaparkan gambar kaki memijak al-Quran.
Selepas tular dan dikecam hebat, individu itu membuat permohonan maaf secara terbuka di media sosialnya.
Netizen berpendapat, permohonan maaf sahaja tidak cukup untuk menutup tindakan melampaunya yang dilihat sebagai menghina agama Islam.
© New Straits Times Press (M) Bhd



