BAITULMUQADDIS: Mahkamah Agung Israel membenarkan puluhan agensi bantuan antarabangsa terus beroperasi di Gaza dan wilayah Palestin lain, sekali gus membekukan keputusan kerajaan sebelum ini yang melarang penglibatan kumpulan bantuan yang gagal mematuhi peraturan baharu.
Dalam penghakiman pada Jumaat, mahkamah tertinggi Israel mengeluarkan injunksi sementara bagi membolehkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meneruskan sebahagian besar aktiviti mereka sementara mahkamah mempertimbangkan petisyen daripada 17 agensi bantuan yang mencabar larangan kerajaan tersebut.
Sebelum ini, Israel mengumumkan bakal melarang 37 kumpulan bantuan daripada memasuki Gaza yang musnah akibat perang, Tebing Barat serta Baitulmuqaddis Timur yang diduduki bermula 1 Mac ini.
Langkah tersebut menurut pakar, berpotensi membawa kesan buruk yang dahsyat kepada rakyat Palestin.
Agensi bantuan termasuk Doktor Tanpa Sempadan (MSF), Oxfam, Majlis Pelarian Norway (NRC) dan CARE, dimaklumkan oleh pihak berkuasa Israel pada Disember lalu pendaftaran operasi mereka telah tamat tempoh.
Mereka diberikan masa 60 hari untuk memperbaharui pendaftaran serta perlu menyediakan senarai butiran peribadi kakitangan Palestin mereka.
Bagaimanapun, organisasi berkenaan menegaskan pematuhan terhadap arahan Israel itu akan mendedahkan kakitangan Palestin mereka kepada risiko tindak balas, selain menggugat prinsip berkecuali kemanusiaan dan melanggar undang-undang perlindungan data Eropah.
Dalam satu kenyataan selepas keputusan pada Jumaat, Penasihat Komunikasi NRC, Shaina Low, menyambut baik keputusan tersebut, namun tetap menarik perhatian kepada kesukaran yang terus dihadapi oleh agensi bantuan di Gaza.
“Injunksi ini menghentikan penutupan segera. Namun, ia tidak mengembalikan semula visa, membuka semula akses atau menyelesaikan sekatan lebih luas yang terus menjejaskan penghantaran bantuan.
“Walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata, keadaan di Gaza kekal bencana besar dan keperluan kemanusiaan di Tebing Barat terus meningkat,” kata Low.
Pengarah Eksekutif Persatuan Agensi Pembangunan Antarabangsa, Athena Rayburn, pula menjelaskan bahawa pihaknya masih memantau tafsiran kerajaan terhadap injunksi tersebut dan impaknya kepada keupayaan operasi mereka, sambil menegaskan situasi di Gaza masih di tahap kritikal. -AL-JAZEERA




