Tehran: Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap sasaran di bandar-bandar Iran pada Sabtu, yang mencetuskan letupan dan asap tebal di ibu negara Tehran.
Serangan itu berlaku selepas Presiden AS Donald Trump meluahkan kekecewaannya terhadap pendirian Iran dalam rundingan mengenai program nuklear dan peluru berpandunya.
Trump berkata, matlamat Washington adalah untuk “menghapuskan ancaman yang akan berlaku” daripada Iran, dan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, menyifatkan tindakan itu sebagai “serangan pencegahan.”
“Tentera Amerika Syarikat memulakan operasi tempur utama di Iran,” kata Trump dalam mesej video yang disiarkan di laman media sosialnya semasa beliau menghabiskan hujung minggu di kelab golf Floridanya.
“Kami akan memusnahkan peluru berpandu mereka dan meruntuhkan industri peluru berpandu mereka. Ia akan dihapuskan sepenuhnya sekali lagi. Kami akan memusnahkan tentera laut mereka,” kata Trump.
Beliau menawarkan “imuniti” atau “kematian yang pasti” kepada tentera Iran dan memberitahu rakyat Iran bahawa “saat kebebasan anda sudah dekat.”
Televisyen kerajaan Iran melaporkan bahawa Presiden Pezeshkian “selamat dan sihat” dan agensi berita Fars berkata, “tujuh hentaman peluru berpandu dilaporkan di daerah Keshvardoost dan Pasteur” di Tehran.
“Saya melihat dengan mata kepala saya sendiri dua peluru berpandu Tomahawk terbang secara mendatar ke arah sasaran,” kata seorang pekerja pejabat kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
“Pada mulanya kami terdengar bunyi yang perlahan dan menyangka ia adalah jet pejuang.”
Di Tehran, wartawan AFP terdengar letupan dan melihat dua kepulan asap besar naik ke atas pusat bandar. Kementerian kesihatan berkata ambulans dihantar tetapi tiada pengesahan segera tentang korban.
Iran, Iraq dan Israel semuanya menutup ruang udara mereka kepada lalu lintas awam sebaik sahaja serangan bermula, dan kedutaan AS di Qatar dan Bahrain menggesa rakyat AS untuk berlindung.
Siren berbunyi di Baitulmaqdis dan pihak berkuasa Israel mengeluarkan amaran telefon bimbit untuk rakyat.
Trump mengarahkan peningkatan ketenteraan terbesar dalam beberapa dekad di Timur Tengah, dengan kapal pengangkut pesawat terbesar di dunia, USS Gerald R Ford, menghampiri pantai Israel.
Sehari selepas AS dan Iran mengadakan rundingan di Geneva, Trump pada Jumaat berkata,
Iran “tidak sanggup memberikan apa yang kita perlukan.”
Tetapi Oman, yang menjadi perantara rundingan Geneva, menawarkan gambaran yang lebih baik dan berkata, Iran bersetuju untuk tidak menyimpan sebarang uranium, menjadikan persoalan tentang tahap pengayaan tidak relevan.
Iran juga bersetuju untuk menguraikan stok simpanan semasa menjadi bahan api, kata menteri luar Oman, Badr Albusaidi, yang berada di Washington untuk bertemu Naib Presiden AS JD Vance.
© New Straits Times Press (M) Bhd


