Penjara 10 tahun, sebat, kerana perkosa remaja 15 tahun

Penjara 10 tahun, sebat, kerana perkosa remaja 15 tahun

Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Timor-Leste yang memperkosa pelajar bawah umur dikenalinya melalui laman sosial TikTok dipenjara 10 tahun dan dikenakan dua sebatan, Khamis lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Monica Linsua menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Rafinus Bata Tukang yang mengaku bersalah.

Menurut laporan Daily Express, Rafinus merogol mangsa berusia 15 tahun sembilan bulan itu pada jam 7 petang, 7 Disember tahun lalu di sebuah bilik sewa di Inanam, Sabah.

Susulan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara antara 10 dan 30 tahun serta sebat jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan Rafinus menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap dan dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman penjara.

Semasa mitigasi, Rafinus yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya diringankan dengan mengatakan dia adalah anak sulung dalam keluarga dan ibunya sudah meninggal dunia, manakala bapanya sakit.

Disebabkan itu, dia bertanggungjawab terhadap adik-beradiknya.

Rafinus memberitahu mahkamah, dia menyesali perbuatannya dan ini adalah kesalahan pertamanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Shaferrah Mad Iskim menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan merogol adalah satu kesalahan serius dan sangat berleluasa.

Nurul Shaferrah, berhujah mahkamah juga perlu menganggap mangsa berada di bawah umur matang ketika kejadian.

Katanya, walaupun hubungan seks itu mengikut persetujuan, undang-undang jelas bahawa hubungan seks dengan bawah umur adalah satu kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top