am@hmetro.com.my
Kuantan: Sebagai anak angkat Majlis Amanah Rakyat (MARA), kebajikan dua beradik yang terselamat dalam tragedi kebakaran yang mengorbankan ibu bapa serta tiga adik mereka akan sentiasa menjadi keutamaan MARA.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, selain kebajikan, pendidikan dan pembangunan sahsiah mereka akan dipantau rapi supaya masa depan mereka tidak terjejas.
“Pagi ini saya berkelapangan ke Ulu Dong, Raub untuk bertemu sendiri dengan adik Ruby Adalia Balqis dan adik Ahmad Balia Murqam mangsa insiden kebakaran di Raub, baru-baru ini.
“Alhamdulillah, melihat keadaan mereka hari ini, saya bersyukur kerana kedua-duanya kelihatan lebih stabil dan kuat berbanding hari-hari awal tragedi.
“Saya sempat bertanyakan tentang pelajaran, cita-cita dan minat mereka. Dalam kesedihan yang masih bersisa, rupanya masih ada sinar harapan yang menyala dalam hati anak-anak ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf memaklumkan dua beradik itu bersetuju untuk dijadikan anak angkat MARA dan pihaknya akan memikul amanah itu dengan penuh tanggungjawab.
Katanya, Ruby yang kini sedang melanjutkan pengajian bidang perakaunan di Kolej Matrikulasi Pahang menyatakan hasrat untuk menjadi seorang guru dan bercita-cita melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Cita-cita yang cukup mulia untuk mendidik anak bangsa. Insha-Allah, Datuk Seri Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri) sudah mengarahkan saya dan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (Menteri Pendidikan Tinggi) untuk bantu susun laluan terbaik agar impian adik Ruby ini menjadi kenyataan.
“Bagi adik Balia pula, dia minat dalam bidang usahawan. Pagi tadi MARA terus menawarkannya untuk meneruskan pengajian di MRSM Bentong dalam bidang teknikal dan Alhamdulillah, Balia setuju,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga sempat meninjau kawasan insiden kebakaran yang meragut nyawa insan tersayang dua beradik berkenaan di Kampung Pamah Kulat, Dong.
“Melihat sendiri lokasi tersebut benar-benar meruntun hati. Sukar digambarkan dengan kata-kata bagaimana perasaan kehilangan itu.
“Namun saya tegaskan kepada mereka, mereka tidak keseorangan. MARA dan seluruh rakyat Malaysia amat prihatin dan akan terus mendoakan kesejahteraan serta kejayaan mereka.
“Daripada ujian yang amat berat ini akan lahir kekuatan luar biasa. Semoga Allah SWT terus memelihara dan mempermudahkan segala urusan kedua pelajar ini,” katanya.
Kelmarin, lima sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran itu iaitu suami isteri, Mohd Alawi Mohammad, 56 dan Zaleha Adam @ Ibrahim, 44 serta tiga anak mereka Ruby Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azian Barizah, 9.
Namun, Ruby Adalia Balqis, 19, dan adiknya Ahmad Balia Murqam, 15, terselamat selepas masing-masing berada di asrama di Kolej Matrikulasi Gambang, di sini dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong, Raub.
© New Straits Times Press (M) Bhd




