Pengumuman dividen sebanyak 6.15 peratus bagi simpanan konvensional dan syariah oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 mencerminkan kecekapan pengurusan pelaburan dana persaraan itu, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, prestasi tersebut dicapai meskipun berdepan keadaan pasaran global yang mencabar, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara.
“Pencapaian ini, meski dalam keadaan pasaran global yang mencabar, mencerminkan kekuatan pengurusan pelaburan KWSP serta keyakinan berterusan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara,” katanya menerusi laman media sosial beliau hari ini.
Dividen 6.15 peratus cermin kecekapan pengurusan KWSP
Beliau berkata, Kerajaan MADANI menyambut baik prestasi berkenaan dan komited melaksanakan dasar mampan bagi memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan setiap warga mampu merancang masa depan dengan lebih yakin dan bermaruah.

Terdahulu, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi tahun 2025 untuk kedua-dua akaun simpanan konvensional dan syariah, dengan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM79.6 bilion.
Artikel lain: Shahidan Kassim mohon PM Anwar pertimbang semula, cadang KWSP perkenal Pengeluaran Khas Aidilfitri
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dana persaraan itu mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion yang direkodkan pada 2024.

Keahlian KWSP turut meningkat kepada 18.1 juta pada 2025, didorong oleh penyertaan tenaga kerja yang lebih meluas termasuk pekerja bukan warganegara Malaysia.
Dalam masa sama, bilangan ahli aktif bertambah kepada 10.6 juta, sekali gus memperbaiki nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kepada 59:41.





