am@hmetro.com.my
Bagan Serai: Hari ini sepatutnya mereka meraikan ulang tahun perkahwinan ke-16, namun takdir Ilahi menetapkan Ruszaidi Roslan meninggal dunia dalam kemalangan di Batu 8, di sini.
Kejadian berlaku lewat petang tadi apabila kenderaan dinaiki Ruszaidi, 47, yang dalam perjalanan pulang ke rumah bertembung dengan kereta dipandu pelajar politeknik.
Rosmidayarni Othman, 43, berkata, pemergian suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori amat mengejutkan apatah lagi, mereka tidak sempat meraikan ulang tahun perkahwinan bersama.
“Sepatutnya hari ini menjadi detik bermakna buat kami, namun bertukar menjadi hari paling menyedihkan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Baru Parit Buntar.
Menurutnya, arwah suami keluar kerja pada 6.40 pagi dan tidak menunjukkan sebarang kelainan.
“Cuma dia ada cakap mahu jadi lebih baik sepanjang Ramadan ini dan dia juga tidak mahu beli baju raya,” katanya yang belum dikurnia cahaya mata sepanjang perkahwinan mereka.
Rosmidayarni juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kemalangan itu.
Jenazah Ruszaidi dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Matang Buluh selepas solat sunat Tarawih.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Jafri Md Zain mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




