Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengingatkan masyarakat bahawa kebebasan bersuara di negara ini tidak bermaksud kebebasan untuk menghina agama.
Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata dalam masyarakat majmuk, kebebasan perlu disertai dengan tanggungjawab.
“ABIM mengecam sekeras-kerasnya tindakan memuat naik gambar memijak al-Quran yang telah mencetuskan kemarahan dan kegusaran dalam kalangan umat Islam. Lebih mendukacitakan, insiden ini berlaku dalam Ramadan, bulan yang dimuliakan sebagai bulan turunnya al-Quran,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Beliau berkata perbuatan itu merupakan tindakan yang tidak beradab, melampaui batas kebebasan bersuara serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara ini.
Katanya penghinaan terhadap mana-mana agama mesti disiasat dan diambil tindakan berdasarkan lunas undang-undang yang adil dan telus.
Dalam pada itu, Ahmad Fahmi berkata semua pihak perlu bertindak dengan kematangan dan tidak memanipulasi insiden berkenaan untuk keuntungan politik atau sentimen perkauman.
Beliau berkata umat Islam juga tidak boleh mengambil tindakan sendiri di luar kerangka undang-undang.
“Ramadan mengajar kita disiplin diri dan kawalan emosi. Mempertahankan maruah agama mesti dilakukan melalui saluran yang sah, beradab dan berhemah,” katanya.
Ahmad Fahmi berkata kerajaan dan masyarakat diminta memperkukuh pendidikan literasi agama dan kenegaraan kerana kefahaman tentang sensitiviti simbol agama adalah asas penting dalam membina budaya saling menghormati dalam negara majmuk.
Pada 25 Feb lepas, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dan setakat semalam, sebanyak 28 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




