Ketegangan AS-Iran berpotensi lonjakan harga emas global ke paras AS$5,500 setiap auns

Ketegangan AS-Iran berpotensi lonjakan harga emas global ke paras AS,500 setiap auns

SERANGAN berterusan terhadap Iran oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel telah mendorong pelabur beralih kepada aset selamat, sekali gus meningkatkan harga emas global ke paras AS$5,500 satu auns, kata seorang penganalisis.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, emas tidak menunjukkan penyusutan menjelang hujung minggu, malah melonjak serta-merta sebaik sahaja laporan mengesahkan kehadiran jet pejuang AS di Israel.

Beliau berkata, perkembangan itu menandakan perubahan naratif geopolitik daripada sekadar retorik kepada pendirian ketenteraan yang jelas, iaitu isyarat yang lazimnya dinilai dengan pantas oleh pasaran.

“Dengan dagangan Jumaat yang ditutup pada paras AS$5,278.51 setiap auns, emas telah mendahului risiko peningkatan awal. Berdasarkan sejarah sebelum ini, menunjukkan bahawa dalam episod kejutan bekalan seperti penutupan Selat Hormuz atau serangan terhadap infrastruktur minyak Asia Barat, emas lazimnya bergerak seiring dengan minyak mentah.

“Kebiasaannya, emas meningkat sekitar 0.20 hingga 0.35 peratus bagi setiap kenaikan satu peratus harga minyak. Berdasarkan paras semasa, emas berpotensi naik lagi sekitar AS$125 hingga AS$220, sekali gus meletakkan paras unjuran pada julat US$5,400 hingga AS$5,500 sekiranya harga minyak mentah terus melonjak akibat risiko gangguan bekalan yang berterusan atau kenaikan mendadak tambahan sebanyak AS$10,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata, logam berharga itu tidak menjejaki kenaikan minyak mentah atas faktor optimisme pertumbuhan, sebaliknya bertindak balas terhadap implikasi harga minyak ke atas jangkaan inflasi, hasil sebenar dan tekanan sistemik.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ketegangan yang meningkat di Asia Barat melemahkan kedudukan dolar AS sebagai mata wang selamat, sekali gus memberi kelebihan kecil kepada emas dan logam berharga lain.

Beliau berkata, logam berharga seperti emas merupakan alternatif terbaik sebagai instrumen lindung nilai memandangkan nilainya tidak terikat secara langsung kepada faktor politik.

“Meskipun mempunyai sedikit kelebihan, pasaran dijangka kekal dalam mod penghindaran risiko khususnya dalam pasaran ekuiti global,” katanya.

Sementara itu, di peringkat domestik, Mohd Afzanizam berkata kenaikan harga emas memberi kesan positif kepada perniagaan Ar Rahnu.

“Nilai cagaran akan meningkat dan ini dapat membantu memperluas akses pembiayaan, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi membiayai modal kerja,” kata beliau

Harga emas fizikal berada pada paras AS$5,167.35 setiap auns troy pada penetapan petang London Bullion Market Association (LBMA) pada 26 Feb, 2026.

Pada Sabtu, Israel dilaporkan melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, menandakan peningkatan ketara dalam konflik tersebut.

Presiden AS ,Donald Trump menyatakan bahawa AS telah memulakan “operasi tempur besar-besaran di Iran”, sekali gus mengesahkan penglibatan langsungnya bersama Israel.

Serangan itu berlaku selepas peningkatan ketara kehadiran ketenteraan AS di rantau berkenaan bagi memberi tekanan kepada Tehran berhubung aktiviti nuklearnya, ketika protes berskala besar masih berterusan. – Bernama

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Serangan berterusan terhadap Iran oleh Amerika Syarikat dan Israel meningkatkan harga emas global ke paras US$5,500 satu auns
  • Kehadiran jet pejuang AS di Israel melonjakkan harga emas serta-merta
  • Perubahan naratif geopolitik daripada retorik kepada pendirian ketenteraan yang jelas meningkatkan harga emas
  • Ketegangan di Asia Barat melemahkan kedudukan dolar AS sebagai mata wang selamat, memberi kelebihan kepada emas
  • Kenaikan harga emas memberi kesan positif kepada perniagaan Ar Rahnu, meningkatkan nilai cagaran dan membantu memperluas akses pembiayaan
Scroll to Top