Yunusmetov Hakeem juara Kejohanan Catur Terbuka Russian House 2026

Yunusmetov Hakeem juara Kejohanan Catur Terbuka Russian House 2026

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain berdarah kacukan Malaysia-Kazakhstan, Yunusmetov Hakeem dinobatkan sebagai juara Kejohanan Catur Terbuka Tahunan Russian House 2026 yang berlangsung di Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia (Russian House) dan berakhir semalam.

Pada pertandingan itu, Yunusmetov mempamerkan permainan yang cukup baik untuk menewaskan setiap lawannya dengan strategi tersendiri dalam enam pusingan yang dimainkan, sekali gus meraih enam mata sempurna.

Kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia (RCSC) dan Persekutuan Catur Malaysia (MCF) ini menarik penyertaan seramai 50 pemain. Pertandingan dijalankan mengikut format Blitz dengan kawalan masa 10 minit tanpa kenaikan masa, menggunakan sistem Swiss.

Bagi kategori Terbuka, Candidate Master Teh Wee Zhun meraih gelaran naib juara, manakala Arena International Master Noor Hafiz Mohd Nor menduduki tempat ketiga dengan kedua-duanya menamatkan saingan dengan lima mata.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Russian House di Kuala Lumpur, Andrey Potemkin, dengan diiringi Presiden MCF, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi.

Selain kategori utama, kejohanan turut mengiktiraf bakat dalam pelbagai kategori lain. Antaranya, kategori Kadet Bawah 12 (B-12) dimenangi oleh Lingashwaraan N Gobi, diikuti Chan Lok Him dan Raisa Mohsen.

Bagi kategori Wanita Terbaik, tempat pertama menjadi milik Nur Basyira Wafa Mohsen, diikuti Shashmitaah N Gobi dan Aishwarryaa Soojasan. Seterusnya, kategori Prodigy B-8 dirangkul oleh Alisya Zehra Mohd Izuan, manakala kategori Veteran dianugerahkan kepada Tiong Kung Ming.

Kejohanan ini adalah acara bertaraf MCF Rated yang bertujuan memupuk semangat kesukanan dalam kalangan komuniti tempatan.

“Sukan catur bukan sekadar pertandingan minda, malah berfungsi sebagai jambatan diplomatik yang memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia.

“Inisiatif seperti ini berupaya memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat yang menjadi asas kepada diplomasi moden,” kata Iwan Schani Ibnu selaku Pengarah Kejohanan merangkap Ketua Pegawai Informasi MCF.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top