
Ulama Syiah Iraq memegang potret Ayatollah Ali Khamenei ketika protes membantah serangan AS-Israel ke atas Iran berhampiran Zon Hijau yang menempatkan Kedutaan AS di Baghdad. – AFP
BAGHDAD – Iraq pada Ahad mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari susulan kematian pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Jurucakap kerajaan, Bassem al-Awadi dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menzahirkan rasa dukacita mendalam serta merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Iran dan seluruh umat Islam selepas Khamenei terbunuh dalam satu “tindakan pencerobohan yang jelas”.
Menurutnya, kerajaan turut menggesa supaya operasi ketenteraan dihentikan segera kerana situasi itu didakwa mendorong rantau berkenaan ke tahap keganasan yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Iran mempunyai pengaruh besar dalam politik Iraq dan turut menyokong kumpulan bersenjata yang semakin berkembang dari segi kuasa politik dan kewangan.
Iraq sejak beberapa dekad lalu menjadi medan persaingan proksi antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Gabungan pemerintah dikenali sebagai Coordination Framework yang menghimpunkan kumpulan Syiah dengan pelbagai tahap hubungan dengan Iran turut menyifatkan pemergian Khamenei sebagai satu kehilangan besar.
Gabungan itu dalam kenyataan berasingan menyatakan darah pemimpin berkenaan akan terus menjadi obor panduan kepada generasi akan datang serta mengutuk pihak yang didakwa bertanggungjawab atas kematiannya.
Ulama berpengaruh Iraq, Moqtada Sadr pula dalam kenyataan ringkas merakamkan ucapan takziah kepada dunia Islam dan mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari. – AFP
Ringkasan AI
- Iraq mengumumkan tempoh berkabung tiga hari untuk Ayatollah Ali Khamenei
- Jurucakap kerajaan Iraq menyatakan rasa dukacita dan menyeru operasi ketenteraan dihentikan
- Iran mempunyai pengaruh besar dalam politik Iraq dan menyokong kumpulan bersenjata
- Iraq adalah medan persaingan proksi antara AS dan Iran
- Ulama berpengaruh Iraq, Moqtada Sadr juga mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari



