MAPIM beri amaran tindakan AS, Israel terhadap Iran cetus konfrontasi lebih luas

MAPIM beri amaran tindakan AS, Israel terhadap Iran cetus konfrontasi lebih luas

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) memberi amaran tindakan agresif Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran boleh mencetuskan konfrontasi lebih luas membabitkan pelbagai aktor serantau serta global.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia sekali gus meningkatkan risiko konflik berpanjangan dengan kesan yang tidak menentu terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Menurutnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga tidak boleh berdiam diri, selain menggesa agar segera mengadakan sidang tergempar Majlis Keselamatan.

“Mengaktifkan mekanisme diplomasi dan pencegahan konflik di bawah piagam PBB, menuntut penghentian segera semua tindakan ketenteraan oleh semua pihak dan menggerakkan usaha pengantaraan antarabangsa bagi mengelakkan eskalasi lanjut.

“PBB juga digesa segera mempertahankan undang-undang antarabangsa dan melindungi penduduk awam daripada kesan peperangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Azmi berkata, kegagalan bertindak secara tegas berisiko melemahkan kredibiliti sistem antarabangsa serta menormalkan pencerobohan ketenteraan unilateral sebagai instrumen dasar luar.

Katanya, kestabilan global tidak boleh dicapai melalui dominasi ketenteraan atau geopolitik paksaan.

“Keamanan yang mampan hanya boleh dicapai melalui diplomasi, penghormatan terhadap kedaulatan negara dan pematuhan kepada undang undang antarabangsa.

“Dunia menyaksikan kesan dahsyat konflik berpanjangan di Asia Barat.

“Satu lagi peperangan besar hanya akan memperdalam penderitaan kemanusiaan, menggugat ekonomi global dan membahayakan jutaan nyawa manusia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top