Hormati pemain Muslim berbuka puasa – Guardiola

Hormati pemain Muslim berbuka puasa – Guardiola

London: Pep Guardiola menggesa agar lebih rasa hormat diberikan kepada pemain yang berpuasa sempena bulan Ramadan dan diberi peluang berbuka seketika selepas disambut dengan sorakan negatif oleh sebahagian penyokong Leeds United di Elland Road, awal pagi tadi.

Umat Islam di seluruh dunia berpuasa dari terbit hingga terbenam matahari sepanjang bulan Ramadan, termasuk beberapa pemain Manchester City.

Sorakan ‘boo’ kedengaran pada minit ke-13 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), bertepatan dengan waktu matahari terbenam di West Yorkshire, apabila pengadil menghentikan permainan buat sementara waktu bagi membolehkan tiga pemain Muslim City berbuka puasa.

Omar Marmoush, Rayan Aït-Nouri dan Rayan Cherki mengambil minuman di tepi padang bersama seorang lagi pemain muslim City yang berada di bangku simpanan, Abdukodir Khusanov.

Guardiola bercakap mengenai insiden itu selepas tamat perlawanan dengan menegaskan bahawa kepercayaan dan kepelbagaian perlu dihormati.

“Ia dunia moden, bukan? Lihat apa yang berlaku di dunia ketika ini.

“Anda perlu hormat agama dan hormat kepelbagaian, itu perkara utama. Liga Perdana membenarkan satu atau dua minit untuk pemain yang berpuasa berbuat demikian, jadi mereka lakukannya. Itulah hakikatnya,” katanya.

Badan anti-diskriminasi, Kick It Out, turut mengeluarkan kenyataan dengan menyifatkan tempoh rehat sementara itu sebagai ‘protokol yang dipersetujui sejak beberapa tahun lalu’.

“Kami amat kecewa apabila segelintir penyokong Leeds United mengejek ketika pemain Manchester City berbuka puasa pada separuh masa pertama di Elland Road malam ini.

“Ia lebih mengecewakan apabila penjelasan turut dipaparkan di skrin besar dalam stadium.

“Menghentikan permainan untuk membolehkan pemain Muslim berbuka puasa ketika Ramadan adalah protokol yang dipersetujui sejak beberapa tahun lalu. Ia sebahagian daripada usaha menjadikan bola sepak lebih inklusif kepada pemain dan komuniti Muslim.

“Namun reaksi malam ini menunjukkan bola sepak masih mempunyai perjalanan panjang dari segi pendidikan dan penerimaan,” menurut kenyataan itu.

Penolong jurulatih Leeds, Edmund Riemer, yang menggantikan Daniel Farke selepas beliau dilayangkan kad merah susulan bantahan terhadap pegawai perlawanan, berkata kepada Sky Sports: “Saya fokus kepada perlawanan, jadi tidak begitu dengar, tetapi saya kecewa dengan sebahagian penyokong atas apa yang berlaku.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top