Kertas siasatan penuntut hina al-Quran dirujuk ke Jabatan Peguam Negara

Kertas siasatan penuntut hina al-Quran dirujuk ke Jabatan Peguam Negara

mhafis@mediaprima.com.my

Kuantan: Kertas siasatan kes penuntut universiti awam yang ditahan kerana memijak al-Quran akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara esok, bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, buat masa ini reman suspek yang berusia 21 tahun itu dilanjutkan sehingga 3 Mac selepas tempoh reman tamat semalam.

Menurutnya, polis turut menerima sebanyak 62 laporan dari seluruh negara berhubung penularan foto memaparkan al-Quran dipijak di media sosial.

“Setakat ini, seramai 43 saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan ketenteraman awam dan sensitiviti agama.

“PDRM akan menjalankan siasatan secara telus, profesional dan adil serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian dan keamanan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top