Kuala Lumpur: Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026, yang bertujuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, dan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026, yang memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, menjadi antara tumpuan utama Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, kedua-dua RUU berkenaan disenaraikan sebagai urusan pertama dan kedua persidangan selepas sesi soal jawab.
Kedua-dua RUU itu sebelum ini dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Feb lepas.
Pindaan Perlembagaan tersebut memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga, iaitu 148 Ahli Parlimen untuk diluluskan.
Sementara itu, pada sesi soal jawab, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) bertanyakan kepada Menteri Kewangan mengenai langkah kerajaan memastikan objektif pengurusan kewangan awam melalui Akta Tanggungjawab Kewangan Awam diterjemahkan secara jelas kepada rakyat.
Chong Chieng Jen (PH-Stampin) pula bertanyakan jumlah pungutan cukai pendapatan individu dan syarikat, serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan pada 2025, dan anggarannya bagi 2026.
Turut menarik perhatian adalah soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengenai penambahbaikan serta jumlah peruntukan bagi perubahan iklim dan pengurusan banjir di kawasan berisiko tinggi akibat luruan monsun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




