PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump secara terang-terangan melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menolak penyelesaian mengikut saluran diplomasi, beberapa hari selepas beliau bermegah dengan Lembaga Keamanan yang kononnya untuk memulihkan Genting Gaza.
Pemimpin Republikan itu membuat pertaruhan besar dengan melancarkan perang terbuka terhadap ‘seterunya’, Iran atas alasan mahu menukar pemerintahan teokratik pimpinan Ayatollah Ali Khamenei.
Amaran terbaharu Trump kini ditujukan kepada Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) selepas ia berulang kali mengancam program nuklear Teheran yang didakwa membangunkan senjata nuklear.
Beliau menggunakan retorik yang sama seperti ketika menekan pejuang Hamas di Gaza, ‘menyerah diri atau berdepan akibat yang lebih dahsyat’.
Serangan bersama Israel itu kini mencetuskan persoalan sama ada tiga pusingan rundingan nuklear terbaharu yang berakhir tanpa sebarang kata putus hanyalah sandiwara Washington semata-mata.
AS sebenarnya sudah merancang lebih awal untuk menggempur dan membunuh pemimpin kanan tertinggi Iran setelah ia menempatkan pasukan terbesar bersama armada kapal perang di rantau itu sejak kempen pencerobohan ke atas Iraq pada 2003.
Trump seolah-olah bercakap tak serupa bikin, apabila sebelum ini beliau mengecam Perang Iraq malah beliau juga menggesa agar penglibatan tentera AS di luar negara dihentikan segera.
Pemimpin tersebut yang mendakwa telah menamatkan lapan peperangan sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025 kini membawa imej ‘gila berperang’ untuk mendominasi kuasa global terutamanya sejak ‘kejayaan’ melancarkan rampasan kuasa tidak sah yang menggulingkan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro pada Januari lalu.
Takut dengan bayang-bayang sendiri
Sejak bulan lalu, Trump berterusan mendesak Iran menghentikan program nuklear mereka.
Tidak sampai setahun, AS kembali mengancam Teheran selepas ia membedil tiga kemudahan nuklear utama ketika perang selama 12 hari pada Jun tahun lalu.

Iran bagaimanapun berulang kali menafikan bahawa mereka bercita-cita membangunkan senjata nuklear meskipun dituduh mempunyai simpanan uranium yang diperkaya hampir ke tahap gred senjata.
Trump seakan-akan takut dengan bayang-bayang sendiri dek terlalu cemas dengan program nuklear Iran walaupun ancamannya belum tentu nyata.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Teheran didakwa telah meningkatkan simpanan uranium diperkaya. Menurut anggaran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sehingga pertengahan Jun 2025, tidak lama sebelum serangan AS, Iran telah memperkayakan kira-kira 441 kilogram uranium sehingga tahap ketulenan 60 peratus.
Bahan tersebut hampir menepati standard uranium gred senjata diperkaya 90 peratus. Simpanan tersebut dikatakan boleh menghasilkan sehingga 10 bom nuklear.
Pada Mei 2025, Agensi Risikan Pertahanan AS (DIA) menganggarkan Teheran mungkin hanya mengambil masa kurang daripada seminggu bagi menghasilkan uranium gred senjata untuk membuat bom pertama dan laporan itu dipercayai telah meresahkan Trump hingga mengambil keputusan melulu untuk membedil tiga kompleks nuklear utama di negara tersebut.
Pada dasarnya, Iran dipercayai telah menghentikan program senjata nuklear mereka pada 2003 dan hasil penilaian komuniti risikan Washington pada musim bunga lalu mendapati ia tidak pernah dimulakan semula.
Baru-baru ini, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pula mendakwa ia tidak dapat mengesahkan sama ada Iran telah menghentikan kesemua aktiviti berkaitan pemerkayaan uranium ataupun mengurangkan saiz simpanan bahan tersebut di fasiliti nuklear yang terkesan serangan pada tahun lalu.
Menurutnya, sekatan akses dikenakan Teheran sejak tahun lalu menyebabkan IAEA gagal mengemaskini sebarang maklumat mengenai saiz semasa, komposisi atau lokasi simpanan uranium diperkaya di negara tersebut yang dipercayai sempat dipindahkan ke lokasi rahsia sebelum kempen serangan udara dilancarkan AS.
Ketua agensi tersebut, Rafael Grossi memaklumkan mereka tidak dapat memberi jaminan bahawa program nuklear Iran adalah semata-mata untuk tujuan keamanan seperti didakwa Teheran selagi negara tersebut tidak memberikan kerjasama penuh.
Ringkasan AI
- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump melanggar Piagam PBB dengan menolak diplomasi dan melancarkan serangan ke atas Iran
- Trump menuduh Iran mengembangkan senjata nuklear dan mengancam Kor Pengawal Revolusi Islam
- Serangan AS-Israel mencetuskan persoalan tentang keikhlasan rundingan nuklear
- Trump dikritik kerana sikapnya yang berubah-ubah dari mengecam perang ke memulai konflik
- Iran didakwa meningkatkan simpanan uraniumnya, namun agensi risikan AS dan IAEA tidak dapat mengesahkan program senjata nuklear Iran dilanjutkan atau dihentikan



