AS sasar pelbagai aset ketenteraan Iran dalam 24 jam pertama 'Operation Epic Fury'

AS sasar pelbagai aset ketenteraan Iran dalam 24 jam pertama 'Operation Epic Fury'

Istanbul: Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) memulakan serangan terhadap pusat kawalan Iran, tapak peluru berpandu balistik, kapal tentera laut dan sistem pertahanan udara dalam tempoh 24 jam pertama ‘Operation Epic Fury’, menurut Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA).

CENTCOM menyatakan bahawa operasi itu dilancarkan pada 1.15 pagi Sabtu atas arahan Presiden Donald Trump, dengan pasukan menyasarkan ‘aparat (jentera) keselamatan rejim Iran, mengutamakan lokasi yang menimbulkan ancaman segera’.

Antara aset yang dikerahkan ialah pesawat pengebom B-2 stealth, jet pejuang F-22, F-35 dan F-16, jet serangan A-10, pesawat peperangan elektronik EA-18G, dron MQ-9 Reaper, kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear, kapal pemusnah peluru berpandu serta sistem pertahanan peluru berpandu Patriot dan THAAD, menurut markas itu.

Sasaran tersebut termasuk ibu pejabat pasukan gabungan dan aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), sistem pertahanan udara bersepadu, kapal dan kapal selam Iran, kedudukan peluru berpandu antikapal serta infrastruktur komunikasi ketenteraan, tambahnya.

Pasukan AS dan Israel sudah menyerang sekitar 2,000 sasaran di Iran sejak permulaan serangan bersama tersebut, lapor The Wall Street Journal dengan memetik dua individu yang diberi taklimat mengenai operasi itu.

AS dan Israel menghabiskan ribuan jam membina senarai sasaran bersama dalam bulan-bulan sebelumnya, kata seorang pegawai Israel kepada akhbar berkenaan.

Serangan tersebut telah mengorbankan beberapa pegawai tinggi Iran, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.

Iran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan negara Teluk.

Tiga anggota perkhidmatan AS terkorban dan lima lagi cedera parah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top