am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penetapan had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun mampu melindungi institusi diraja dan mengelakkan istana daripada terus diheret ke dalam kemelut percaturan ahli politik yang mahu berpaut pada kuasa tanpa kesudahan.
Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang), berkata, cadangan pindaan itu hanyalah meletakkan satu “syarat kelayakan” perlembagaan yang baharu bagi pemegang jawatan Perdana Menteri, sama seperti konsep yang mensyaratkan seorang Perdana Menteri mesti seorang warganegara Malaysia dan ahli Dewan Rakyat.
Dr Zaliha yang juga Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (BBC) berkata, selagi seseorang itu memenuhi syarat kelayakan perlembagaan yang ditetapkan dan pada hemat Yang di-Pertuan Agong mendapat kepercayaan majoriti, kuasa pelantikan itu kekal 100 peratus di tangan baginda.
“Justeru, naratif dangkal yang cuba dibawa pihak pembangkang, kononnya pindaan ini akan menghakis atau bercanggah dengan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong adalah sama sekali meleset.
“Pindaan ini tidak sedikit pun menyentuh, apatah lagi mencabar kuasa mutlak baginda,” katanya ketika membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, pembangkang mendakwa, RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana menyentuh serta mengehadkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata mengikut Perkara 40, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara dalam beberapa perkara tertentu, termasuk pelantikan Perdana Menteri tanpa perlu terikat kepada nasihat mana-mana pihak.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha, berkata apabila perlembagaan menetapkan garis penamat yang jelas, peralihan kuasa akan berlaku secara tertib, teratur dan tidak lagi membebankan Yang di-Pertuan Agong untuk merungkai krisis politik yang sengaja dicipta individu tertentu demi kelangsungan kuasa peribadi, seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
“Melihat kepada inti pati RUU ini, ia tidak seharusnya dilihat melalui lensa politik kepartian yang sempit. Pengehadan tempoh jawatan ini digubal demi menjamin kelangsungan dan kestabilan sistem pentadbiran negara dalam jangka masa panjang.
“Parti mana pun yang berjaya membentuk kerajaan kelak, peruntukan ini akan menjadi benteng bagi memastikan tiada lagi pemimpin yang boleh berakar umbi terlalu lama sehingga melahirkan amalan diktator,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




