am@hmetro.com.my
Yan: “Arwah Siti Nur Zulaikha beritahu dia nak beli kasut putih untuk hari raya ini, tetapi saya tertanya kenapa warna putih, macam kasut jururawat.
“Dia kata dia memang nak sangat kasut putih, tapi tak sangka itu permintaan terakhirnya sebelum dia pergi buat selama-lamanya,” kata Siti Asiah Abdul Halim, 46.
Siti Asiah adalah ibu kepada Siti Nur Zulaikha Muhammad Shukor, 18, dan abangnya, Luqman Nurois, 19, yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sungai Muda menghala ke Bertam, Pulau Pinang.
Ketika kejadian, kedua-duanya dalam perjalanan pulang ke asrama Kolej Vokasional Nibong Tebal.
Menurut Siti Asiah, anak kedua dan ketiga daripada enam beradik itu pulang cuti hujung minggu untuk bersahur serta berbuka puasa bersama keluarga di rumah.
“(Ketika kejadian) cikgu mereka hubungi saya dan bertanya sama ada sudah tahu atau tidak anak-anak saya kemalangan? Saya kata tak tahu dan apabila dengar kemalangan pun saya dan ketar satu badan.
“Jadi saya beritahu suami sebelum dia menghubungi guru anak saya. Tidak lama selepas itu ada orang hubungi saya memaklumkan anak perempuan saya sudah meninggal dunia manakala seorang lagi dalam ambulans, ” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Batas Ubi, di sini hari ini.
Siti Asiah berkata, dia dan suaminya bergegas ke lokasi kejadian namun tidak sempat tiba awal disebabkan tersangkut dalam kesesakan.
“Sebelum ini anak lelaki saya pernah terbabit dalam kemalangan tetapi keadaannya tidak teruk, cuma duduk satu hari dalam wad.
“Saya ingat (kemalangan ini) biasa la, rupanya kali ini dia dah tinggalkan kami, memang sedih,” katanya.
Menurutnya lagi, setiap kali Luqman Nurois pulang ke rumah, dia pasti akan bercerita kisah rakannya di asrama namun kali ini remaja itu lebih banyak diam dan kurang bercakap.
Meskipun sedih, Siti Asiah tetap reda atas pemergian kedua-dua anaknya di saat umat Islam bakal menyambut Aidilfitri.
Berita Berkaitan
- Jenazah 2 beradik selamat dikebumikan
- ‘Apa yang saya risaukan akhirnya berlaku’ – Datuk pilu 2 cucu maut kemalangan
- ‘Arwah cakap penat, kalau boleh mahu tidur selamanya’
© New Straits Times Press (M) Bhd




