1,936 penuntut Malaysia di Asia Barat selamat, belum ada mohon untuk pulang

1,936 penuntut Malaysia di Asia Barat selamat, belum ada mohon untuk pulang

nfazlina@nstp.com.my

Bachok: Kementerian Pendidikan Tinggi memaklumkan kesemua 1,936 penuntut Malaysia di enam negara di Asia Barat dalam keadaan selamat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan penuntut terbabit dari semasa ke semasa susulan ketegangan yang berlaku di rantau terbabit.

Katanya, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Luar dan mendapatkan maklumat dengan Bahagian Pendidikan Malaysia di setiap negara terbabit.

“Setakat ini keseluruhan pelajar yang berdaftar di enam negara adalah seramai 1,936 orang. Ia meliputi 1,762 orang di Jordan, 135 di Arab Saudi, 21 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), sembilan di Kuwait, enam di Iran dan tiga di Qatar.

“Sehingga saat ini, laporan yang kita terima, kesemua masyarakat Malaysia khususnya pelajar-pelajar kita berada dalam keadaan selamat.

“Apapun kita akan terus memantau dengan sebaiknya supaya keberadaan pelajar-pelajar kita di luar negara khususnya kawasan yang terbabit dengan konflik terjaga,” katanya ditemui pada Majlis Iftar Mahabbah IPTA Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Zambry berkata, sehingga kini belum ada permintaan dalam kalangan penuntut Malaysia yang memohon untuk pulang ke Malaysia.

“Sebarang permohonan dan permintaan itu, pihak Pendidikan Malaysia di negara berkenaan akan memaklumkan kepada kami.

“Kita juga menasihatkan pelajar Malaysia yang tidak berdaftar supaya sentiasa berhubung dengan kedutaan bagi membolehkan kita mengetahui keadaan mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top