nfazlina@nstp.com.my
Bachok: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengambil tindakan mengikut peruntukan universiti terhadap mahasiswa yang didakwa memijak al-Quran dan menghina Nabi Muhammad SAW.
Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kes berkenaan kini sudah menjadi kes polis dan pihaknya menunggu hasil siasatan untuk tindakan selanjutnya.
“Saya sudah arah pihak universiti mengambil langkah-langkah yang perlu selaras dengan peruntukan yang ada dalam universiti.
“Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana jika dibiarkan kes seumpama ini, ia akan menimbulkan konflik yang lebih mendalam,” katanya ditemui pada Majlis Iftar Mahabbah IPTA Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry turut menegaskan pihaknya tidak berkompromi berhubung tindakan terhadap mahasiswa berkenaan.
“Pihak universiti juga mengambil langkah segera termasuk membuat laporan polis dan kini mahasiswa terbabit dalam siasatan polis.
“Jadi saya ingin mengingatkan kepada semua pihak termasuk mahasiswa terutama dalam konteks universiti, kita perlu menyuburkan semangat saling hormat menghormati di antara satu sama lain.
“Apabila tindakan menghina sesuatu agama itu, tentunya akan menimbulkan kemarahan yang melampau apatah lagi perbuatan memijak al-Quran oleh individu dari agama lain.
“Adalah malang apabila ada kes seperti ini dilakukan oleh seseorang, sama ada di kalangan pelajar mahupun di komuniti universiti,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan penuntut berusia 21 tahun itu akan didakwa di mahkamah esok mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
© New Straits Times Press (M) Bhd




