Paris: Kapten Perancis, Kylian Mbappe berada di Paris untuk mendapatkan rawatan kecederaan lutut, namun tidak bercadang melakukan pembedahan, menurut wakil pemain Real Madrid itu kepada AFP.
Mbappe berada ‘di Paris bersama anggota kakitangan perubatan Real Madrid’, menurut kenyataan daripada pihaknya.
“Dengan persetujuan kelab, dia sedang menjalani ujian lanjut pada lututnya dengan tujuan untuk mengoptimumkan rawatan susulan dan persediaan untuk kembali beraksi. Tiada pembedahan yang dirancang pada masa ini,” kata kenyataan itu lagi.
Mbappe menghadapi masalah kecederaan pada ligamen luar lutut kirinya sejak penghujung 2025 dan terlepas perlawanan kedua playoff Liga Juara-Juara menentang Benfica minggu lalu akibat ‘sakit berterusan’ ketika latihan, menurut sumber rapat dengan pemain itu.
Wakilnya menegaskan tiada pertikaian mengenai rawatan yang diperlukan oleh pemain itu antara kelab dan pasukan kebangsaan Perancis, yang pastinya ingin memastikan Mbappe berada dalam keadaan 100 peratus untuk Piala Dunia yang akan datang.
“Kami rasa perkara terbaik adalah dia berhenti seketika, pulih sepenuhnya dan kembali pada tahap 100 peratus,” kata jurulatih Real Madrid, Alvaro Arbeloa, kepada stesen penyiar Movistar hujung minggu lalu.
“Ini bukan soal beberapa hari sahaja, ia akan mengambil sedikit masa, tetapi saya tidak boleh nyatakan berapa lama, harapnya tidak terlalu lama,” katanya lagi.
Masih belum dapat dipastikan sama ada Mbappe, yang telah menjaringkan 38 gol dalam 33 penampilan untuk kelab musim ini, akan dapat beraksi dalam perlawanan 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang Manchester City, dengan perlawanan pertama dijadualkan pada 11 Mac dan perlawanan timbal balik pada 17 Mac.
© New Straits Times Press (M) Bhd




