CALIFORNIA: Pemain No. 1 dunia, Carlos Alcaraz, dilihat berada di landasan terbaik untuk kembali menguasai Kejohanan Tenis Indian Wells 2026 yang bermula esok apabila hadir dengan reputasi cukup menggerunkan hasil dua gelaran awal musim.
Juara dari Sepanyol itu memulakan tahun dengan menjulang trofi Terbuka Australia sebelum meneruskan rentak cemerlang apabila menakluk Terbuka Qatar, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai calon utama di gelanggang tanah liat California.
Rekod Alcaraz di Indian Wells juga menambah gerun pencabar lain selepas dia muncul juara pada edisi 2023 dan 2024, manakala musim lalu langkahnya terhenti di separuh akhir ketika belum berada pada tahap kecergasan terbaik.
Kini, pemain berusia 22 tahun itu tampil lebih matang dan sudah melebarkan jurang lebih 3,000 mata dalam ranking ATP mengatasi pencabar terdekatnya, Jannik Sinner.
Bekas pemain Amerika Syarikat, Sam Querrey, tanpa ragu menamakan Alcaraz sebagai pilihan utama untuk menjuarai kejohanan kali ini.
“Carlos Alcaraz adalah pilihan saya. Satu-satunya pesaing sebenar mungkin Jannik Sinner, tetapi tahap permainan Alcaraz meningkat dengan ketara selepas kejayaan di Melbourne dan Doha.
“Dalam saingan wanita, Elena Rybakina memang bermain tenis yang hebat, namun kedalaman persaingan WTA menjadikan ramalan lebih sukar berbanding bahagian lelaki,” katanya.
Dengan momentum memihak kepadanya serta pengalaman dua kali menjulang trofi di Indian Wells, Alcaraz kini dilihat berada dalam kelas tersendiri untuk memburu gelaran ketiga sekali gus mengukuhkan cengkaman di puncak dunia. – AGENSI




