Tehran: Serangan balas Iran setakat ini sudah menyasarkan 500 lokasi yang dikaitkan dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS) di Timur Tengah, menurut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) setakat Isnin iaitu hari ketiga pertempuran, lapor TRT World.
“Sejak permulaan konflik, tentera berani Angkatan Bersenjata Iran menyerang 60 sasaran strategik dan 500 sasaran tentera AS serta sasaran rejim (Israel),” kata IRGC dalam satu kenyataan pada Isnin.
IRGC menambah, mereka sudah melancarkan lebih daripada 700 dron dan ratusan peluru berpandu.
Tehran melancarkan beberapa gelombang peluru berpandu dan dron sebagai serangan balas terhadap serangan bersama AS-Israel ke atas Iran yang bermula pada 28 Februari.
Serangan itu mengakibatkan kematian Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei dan menyasarkan lokasi lain.
Dalam pada itu, beberapa serangan Iran menyasarkan Israel secara langsung, mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh, termasuk insiden di tengah Israel seperti Beit Shemesh dan berhampiran Baitulmaqdis.
Selain itu, beberapa lagi cedera akibat serangan berkenaan.
Iran juga menyerang aset dan pangkalan tentera AS di seluruh rantau, mengakibatkan sekurang-kurangnya empat anggota perkhidmatan AS terbunuh dan beberapa lagi cedera.
Negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar, Bahrain, Arab Saudi dan Oman, turut menghadapi serangan peluru berpandu dan dron secara langsung oleh Iran.
Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) pada Isnin berkata, 18 anggota perkhidmatan AS ‘cedera serius’ sejak permulaan serangan ketenteraan bersama AS-Israel terhadap Iran.
Jurucakap CENTCOM, Kapten Tim Hawkins turut mengesahkan laporan kematian keempat seorang anggota perkhidmatan yang meninggal dunia akibat kecederaan semasa gelombang awal serangan balas Iran.
Sekurang-kurangnya 555 orang terbunuh di seluruh Iran akibat serangan bersama AS-Israel ke atas 131 daerah, dengan insiden paling maut berlaku di bandar Minab di selatan-timur Iran, di mana serangan ke atas sebuah sekolah rendah perempuan mengakibatkan 180 pelajar maut.
© New Straits Times Press (M) Bhd



