CYBERJAYA: Penubuhan pusat jagaan kanak-kanak KinderHub@MCMC bukan sekadar penyediaan fasiliti baharu, malah memperkukuh kesejahteraan warga kerja dan keluarga.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia mencerminkan komitmen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menjaga kebajikan warganya secara menyeluruh.
Menurutnya, sokongan kepada keluarga merupakan asas penting dalam memastikan kesejahteraan emosi dan mental kakitangan, sekali gus meningkatkan produktiviti serta kelestarian sesebuah organisasi.
“Fasiliti ini diwujudkan bagi membantu warga kerja mengimbangi tuntutan kerjaya dan tanggungjawab keluarga, khususnya dalam aspek penjagaan serta pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti,” katanya ketika merasmikan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) dan Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) KinderHub@MCMC, di sini, hari ini.
Katanya, kemudahan itu membolehkan ibu bapa bekerja dan menjalankan tugas dengan lebih fokus apabila anak-anak mereka berada di persekitaran yang selamat serta berhampiran tempat kerja.
Menurutnya, setakat ini, seramai 76 kanak-kanak berusia antara tiga bulan hingga enam tahun telah didaftarkan di pusat berkenaan, termasuk permohonan daripada ibu yang sedang hamil.
“Pusat jagaan ini mampu menampung sehingga 153 kanak-kanak pada satu-satu masa dan telah mula beroperasi pada 15 Januari lalu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar pelaksanaan KinderHub@MCMC itu dapat menjadi contoh kepada badan berkanun lain dalam usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga kerja. – UTUSAN




