Perebutan naib juara Liga Super makin panas

Perebutan naib juara Liga Super makin panas

Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke 12 berturut turut namun tumpuan kini lebih terarah kepada perebutan gelaran naib juara.

Harimau Selatan dianggap hanya menunggu masa untuk mengekalkan kejuaraan sekali gus layak ke Liga Juara Juara Asia Elit musim depan, tetapi persoalan siapa yang akan mengiringi mereka ke Asia masih menjadi tanda tanya.

Naib juara Liga Super akan meraih tiket ke Liga Juara Juara Asia 2 (ACL2) sekali gus menjadikan persaingan merebut kedudukan kedua semakin sengit.

Berbaki enam perlawanan lagi, Selangor dan Kuala Lumpur City (KL City) ketika ini menghuni tangga kedua dan ketiga dengan kedua dua pasukan Lembah Klang itu terikat 36 mata.

Kuching City yang berada di kedudukan keempat pula hanya ketinggalan dua mata selain mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding dua pencabar di atasnya.

Situasi itu menjadikan persaingan tiga penjuru antara Selangor, KL City dan Kuching City semakin menarik menjelang penghujung musim.

Selangor dilihat memiliki sedikit kelebihan apabila akan mengharungi empat daripada enam baki perlawanan di gelanggang sendiri termasuk menentang Imigresen FC, Sabah, Penang dan PDRM.

Dua lagi aksi Selangor adalah perlawanan di tempat lawan termasuk pertemuan penting menentang Kuala Lumpur City serta Kelantan The Real Warriors.

KL City pula berdepan laluan lebih mencabar apabila perlu melalui beberapa aksi besar termasuk menentang Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City.

Skuad City Boys akan beraksi tiga kali di laman sendiri menentang Melaka FC, Selangor dan Negeri Sembilan selain tiga aksi di tempat lawan berdepan Kelantan The Real Warriors (KTRW), JDT dan Kuching City.

Namun KL City juga perlu menyelesaikan isu kewangan termasuk sekatan perpindahan pemain sekiranya berjaya menamatkan musim sebagai naib juara dan mahu beraksi di ACL2.

Kuching City pula akan mengharungi tujuh baki perlawanan dengan empat aksi di tempat sendiri menentang Sabah, PDRM, Terengganu FC dan KL City serta tiga aksi di gelanggang lawan bertemu Penang, DPMM FC dan Melaka FC.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top