JDT takkan perlahankan rentak hadapi Sanfrecce Hiroshima

JDT takkan perlahankan rentak hadapi Sanfrecce Hiroshima

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari menegaskan skuad Harimau Selatan tidak akan memperlahankan rentak meskipun berada dalam prestasi terbaik ketika ini.

Menurutnya, momentum positif yang diraih dalam setiap perlawanan menjadi suntikan semangat buat pasukan menjelang aksi pertama pusingan 16 Liga Juara Juara Asia Elit (ACLE) menentang Sanfrecce Hiroshima di Stadium Sultan Ibrahim, esok.

Syahmi berkata, kesemua pemain berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk mengharungi cabaran menentang wakil Jepun itu.

Katanya, aksi berdepan kelab Jepun berkenaan menjadi ujian penting buat pasukan dalam usaha melakar keputusan positif di laman sendiri.

“Ini satu momentum yang baik untuk pasukan melangkah ke perlawanan seterusnya dalam saingan ACLE apabila kita bakal berdepan kelab Jepun untuk aksi pertama nanti.

“Jadi saya rasa kesemua pemain kini berada dalam keadaan yang terbaik, Insya Allah,” katanya.

Mengulas mengenai dominasi JDT dalam saingan Liga Super musim ini, Syahmi menyifatkan pencapaian cemerlang itu adalah hasil komitmen tinggi semua pemain.

Setakat ini JDT sudah meledak 83 gol dan hanya bolos tujuh kali sekali gus membuktikan keutuhan jentera serangan dan pertahanan pasukan.

JDT ketika ini berada di landasan terbaik untuk sekali lagi menjuarai Liga Super sekali gus mempertahankan kejuaraan buat kali ke 12 berturut turut musim ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top