Pengacara dan personaliti media sosial, Fedtri Yahya, menegur sikap segelintir masyarakat yang memandang sinis terhadap individu yang memilih untuk berbuka puasa di masjid sepanjang Ramadan.
Usaha imarahkan rumah Allah

Menerusi perkongsian di Threads, pemilik nama Ahmad Fedtri Yahya, 45, menekankan bahawa amalan berbuka di masjid bukanlah gambaran seseorang itu tidak berkemampuan, sebaliknya ia merupakan salah satu usaha untuk mengimarahkan rumah Allah.

“Makan di masjid adalah usaha imarahkan rumah Allah, bukan tanda kebulur. Buang mentaliti dan pemikiran begitu. Ramai saja jutawan terpaut hati berbuka di masjid,” ciapannya, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak orang ramai agar tidak teragak-agak untuk hadir berbuka puasa di masjid walaupun hanya dengan hidangan yang sederhana.
Menurutnya, nilai sebenar berbuka puasa secara berjemaah terletak pada suasana kebersamaan dan pengisian rohani yang dirasai.

“Datanglah. Walau sekadar seteguk air dan sebiji kurma kerana yang mengenyangkan bukan hanya makanan, tetapi suasana iman,” tulisnya lagi.
Kenyataan tersebut dilihat sebagai peringatan agar masyarakat mengubah persepsi negatif terhadap amalan berbuka di masjid, selain menggalakkan lebih ramai umat Islam memanfaatkan bulan Ramadan untuk mendekatkan diri kepada Allah serta menghidupkan institusi masjid sebagai pusat ibadah dan perpaduan.
Artikel lain: “Imam juga manusia bekerja…”- Fedtri Yahya ulas bayaran tarawih RM1,000 satu malam
Terdahulu, Fedtri mengulas mengenai gaji seorang imam tarawih yang didakwa lebih tinggi daripada biasa sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, mereka yang menjadi imam juga sama seperti orang lain bekerja dan berusaha mencari rezeki untuk menyara kehidupan dan pendapatan tambahan itu wajar dilihat sebagai rezeki berkat bagi imam yang memimpin solat tarawih dan bukan bertujuan untuk memperdagangkan agama.
Sumber: Threads fedtriyahya




