am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Parti pembangkang mempersoalkan kegagalan blok kerajaan untuk memastikan kehadiran penuh wakil rakyatnya sehingga menyebabkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri, gagal diluluskan di Dewan Rakyat semalam.
Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, naratif bahawa pembangkang menjadi punca kegagalan RUU itu adalah tidak tepat kerana kerajaan mempunyai 154 ahli Parlimen yang menyokongnya sekali gus mendapat jumlah yang melebihi keperluan minimum 148 undi untuk meluluskan pindaan Perlembagaan.
“Naratif yang dimainkan oleh kerajaan, ia gagal kerana pembangkang sendiri tidak mengundi. Malah ada juga Menteri kabinet yang menyalahkan Ahli Parlimen pembangkang dan menulisnya di sosial media.
“Perlu diingatkan bahawa Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Madani ini adalah seramai 154 orang. Jumlah yang cukup besar untuk meluluskan sesuatu RUU di Parlimen. Ke mana lapan orang Ahli Parlimen yang gagal hadir dan menyokong RUU kerajaan semalam?
“Di pihak pembangkang kami konsisten mainkan peranan sebagai semak dan imbang kerajaan hari ini,” katanya dalam Facebook, hari ini.
Semalam Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.
Ia selepas RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.
Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan oleh seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Lapan Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan tetapi tidak hadir dalam sesi itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal Datuk Henry Sum Agong (Lawas), Riduan Rubin (Tenom), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Suhaimi Nasir (Libaran), Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Larry Soon (Julau) dan Datuk Seri Dr Jeffrey@ Kitingan (Keningau).
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, pihak pembangkang tidak mempunyai masalah untuk menyokong RUU berkenaan namun perlu memenuhi beberapa syarat dan pindaan seperti diminta.
Katanya, ia termasuklah Perdana Menteri tidak boleh lagi memegang portfolio Menteri Kewangan bagi mengelakkan pemusatan kuasa.
“Selain itu, had dua penggal sebagai prinsip, bagaimanapun Yang Dipertuan Agong (YDPA) masih boleh membuat pengecualian dalam hal-hal tertentu dan masih mempunyai kuasa mutlak untuk melantik seorang Perdana Menteri.
“Jadi tiada isu bahawa pihak pembangkang tidak menyokong RUU ini sekiranya pindaan ini dibenarkan dengan syarat dipenuhi. Tak usahlah pihak lain nak menutup kelemahan di pihak Ahli Parlimen Kerajaan dengan menuding jari ke arah pembangkang.
“Semoga RUU pindaan perlembagaan berkenaan Pengasingan Peranan Peguam negara dan Pendakwa Raya yang dijadualkan hari ini juga akan ditarik balik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




