Kerajaan mengesahkan lapan Ahli Parlimen yang menyokong tetapi tidak hadir dalam pengundian Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun menjadi punca utama RUU itu gagal di Dewan Rakyat semalam.
Alasan tak hadir pengundian RUU
Memetik laporan daripada Harian Metro, jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil menyatakan setiap Ahli Parlimen terbabit memberikan pelbagai alasan termasuk berada di hospital dan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.
“Setiap dari mereka bila ditanya kenapa tidak berada di situ (Dewan Rakyat) ada yang memberikan pelbagai alasan,” katanya.

Timb. Perdana Menteri kecewa ketidakhadiran MP dalam pengundian RUU
Beliau menegaskan semua Ahli Parlimen blok PH hadir dan mengundi bagi memastikan sokongan kerajaan tetap kukuh.
Fahmi turut menyorot reaksi Timbalan Perdana Menteri terhadap ketidakhadiran itu.
“Saya lihat raut wajah beliau… Timbalan Perdana Menteri itu kelihatan sedikit kecewa apabila lapan Ahli Parlimen tidak ada (dalam Dewan Rakyat),” ujarnya.

Difahamkan, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, 32 tidak hadir dan 44 berkecuali.
Kegagalan ini menimbulkan persoalan mengenai disiplin kehadiran Ahli Parlimen walaupun mereka secara terbuka menyokong kerajaan.
Lapan Ahli Parlimen yang tidak hadir adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Henry Sum Agong (Lawas), Riduan Rubin (Tenom), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Suhaimi Nasir (Libaran), Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Larry Soon (Julau) dan Datuk Seri Dr Jeffrey@ Kitingan (Keningau).

Artikel lain: Kerajaan akan bentang RUU hadkan jawatan PM tidak lebih 10 tahun
Fahmi menegaskan bahawa semakan telah dibuat melalui Kelab Penyokong Kerajaan dan Pejabat Ketua Whip bagi memastikan kehadiran, namun ketidakhadiran mereka menjadi faktor utama kegagalan RUU.
Beliau menyeru semua pihak memahami pentingnya disiplin dalam Dewan Rakyat untuk meluluskan undang-undang penting bagi negara.
Sumber: Harian Metro (Fahmy A Rosli)




