Sebanyak 151,790 permohonan Budi Agri-Komoditi diluluskan setakat 2 Mac – KPK

Sebanyak 151,790 permohonan Budi Agri-Komoditi diluluskan setakat 2 Mac – KPK

Kuala Lumpur: Kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) meluluskan 151,790 permohonan daripada pekebun kecil sawit untuk inisiatif Program Budi Agri-Komoditi, setakat 2 Mac, 2026.

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, inisiatif berkenaan digerakkan menerusi Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) melibatkan bantuan tunai bulanan sebanyak RM200 disalurkan kepada golongan berkenaan.

Beliau berkata, selain itu, sebanyak RM7 juta telah dibelanjakan untuk Skim Diskaun Cantas (SKIDIC) yang memberi manfaat kepada hampir 7,000 pemohon di seluruh negara setakat 2 Mac, 2026.

“Skim SKIDIC diperkenalkan sejak 2010 sehingga kini bagi menggalakkan penggunaan pemotong bermotor dalam aktiviti penuaian pelepah dan buah sawit untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan meningkatkan produktiviti khususnya bagi sektor pekebun kecil.

“Pada 2011, skim ini diperluaskan kepada kawasan perladangan, di mana pemohon mendapat insentif diskaun sebanyak RM1,000 bagi setiap unit mesin Cantas yang dibeli,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian beliau di Dewan Negara hari ini.

Noraini berkata, pihaknya juga telah mengadakan pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan sedang dalam proses Kajian Separuh Penggal (KSP) Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) dengan mengambil kira isu dan cabaran yang sedang dihadapi oleh sektor itu.

KPK katanya komited dalam melaksanakan pembaharuan dasar untuk memastikan kemampanan jangka panjang sektor agrikomoditi dan mengangkat darjat ekonomi rakyat terutamanya pekebun kecil yang merupakan nadi penghasilan produk komoditi agar sumber kekayaan negara dapat diimbangi secara saksama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top