hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Menara Merdeka 118 menjadi salah satu lokasi cerapan gerhana bulan penuh malam ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya berdasarkan kelebihan teknikal dan strategik bangunan tertinggi negara itu.
Dengan ketinggian 678.9 meter, menara ikonik berkenaan menawarkan garis pandang lebih luas dan jelas ke arah langit, sekali gus mengurangkan gangguan visual daripada bangunan sekeliling.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, Datuk Ir Izwan Ibrahim berkata, faktor ketinggian menjadi kelebihan utama dalam memastikan cerapan dapat dilakukan dalam keadaan optimum.
“Dengan ketinggian 678.9 meter, Menara Merdeka 118 adalah bangunan tertinggi di Malaysia. Ia memberikan garis pandang yang lebih luas dan jelas ke arah langit serta mengurangkan gangguan visual daripada bangunan sekeliling.
“Faktor ini menjadikannya lokasi yang sesuai untuk aktiviti cerapan gerhana bulan,” katanya ketika kepada Harian Metro di sini, hari ini.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) fenomena itu hanya berlaku sekali tahun ini dan gerhana bulan seterusnya adalah pada 31 Disember 2028.
Izwan berkata, selain itu, kedua Menara Merdeka 118 juga mempunyai pemandangan panorama 360 darjah, sekali gus memudahkan cerapan dilakukan dalam posisi terbaik berdasarkan pergerakan bulan.
Katanya, ia juga memastikan proses pemerhatian dapat dijalankan dengan lebih efektif dan selamat.
Izwan berkata, penganjuran program itu turut memperkukuh peranan Menara Merdeka 118 sebagai mercu tanda yang menjadi peneraju serta simbol kemajuan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi negara.
“Selain cerapan secara langsung dari lokasi ikonik itu, orang awam turut berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan menerusi siaran langsung yang dipancarkan di Stadium Merdeka, Masjid Al-Sultan Abdullah dan Planetarium Negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




