BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperuntukkan lebih RM2.2 juta bagi melaksanakan pelbagai aktiviti dan inisiatif mengimarahkan Ramadan tahun ini dengan menggabungkan teknologi, kebajikan dan nilai ihsan.
Inisiatif tersebut bertujuan memastikan keberkatan bulan mulia dapat dirasai lebih ramai penerima di seluruh negara menerusi pendekatan menyeluruh merangkumi sumbangan digital, sokongan ekonomi setempat serta program komuniti.
Antara tumpuan utama termasuklah kempen Jom Cari Lailatul Qadar yang membolehkan orang ramai bersedekah dengan mudah sepanjang Ramadan menerusi aplikasi BIMB Mobile.
Kempen berlangsung sehingga 20 Mac 2026 itu membolehkan pelanggan menetapkan amaun sumbangan secara berjadual kepada organisasi pilihan termasuk Sadaqa House, masjid, rumah kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama ada secara harian atau pada 10 malam terakhir Ramadan.
Pegawai Bertanggungjawab dan Pegawai Perniagaan Kumpulan Bank Islam (Perbankan Runcit), Mizan Masram berkata, kempen berkenaan memasuki edisi ketiga dan terus menerima sambutan memberangsangkan.
Menurutnya, pada tahun 2025, kempen tersebut berjaya menyalurkan lebih RM2 juta kepada penerima manfaat berbanding sekitar RM161,000 pada tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran dan semangat memberi dalam kalangan masyarakat.
“Selaras aspirasi transformasi digital Bank Islam, kami komited untuk menyediakan platform beramal yang lebih mudah, selamat dan efisien, membolehkan pelanggan berkongsi rezeki mereka secara langsung kepada penerima memerlukan, khasnya dalam bulan penuh keberkatan ini.
“Kami percaya setiap sumbangan yang disalurkan bukan sahaja meringankan beban penerima tetapi juga menyemarakkan nilai ihsan sesama insan,” katanya.
Dalam pada itu, Bank Islam melalui aplikasi BIMB Mobile turut menyokong pertumbuhan ekonomi setempat dengan menaja empat bazar Ramadan utama melibatkan lebih 800 peniaga termasuk Bazar Ramadan Santai Bandar Tasik Puteri, Rawang yang diiktiraf sebagai Bazar Terpanjang di Malaysia 2026.
Turut ditaja, Festival Ramadan Putrajaya bersama Perbadanan Putrajaya, Bazar Ramadan Sibu, Sarawak dan Bazar Ramadan Ipoh bersama Majlis Perbandaran Ipoh, Perak.
Menurut Mizan, tajaan itu bukan sahaja menghidupkan kemeriahan Ramadan, malah menggalakkan penggunaan aplikasi BIMB Biz serta kemudahan Payment to Voice yang membolehkan notifikasi suara pembayaran tanpa tunai dibuat pada waktu sebenar.
Beliau berkata, penggunaan BIMB Biz turut membantu peniaga mengurus kutipan melalui QR DuitNow, menyemak rekod transaksi secara telus dan membina sejarah kredit lebih kukuh bagi akses perbankan pada masa depan.
Bank Islam juga meneruskan tradisi tahunan dengan menganjurkan program komuniti berskala besar termasuk Ramadan Fest @ SWADD yang menyediakan juadah berbuka puasa percuma kepada lebih 500 warga kota setiap hari bekerja.
Selain itu, bank berkenaan menyalurkan RM46,000 bagi program Pek Sajian Ramadan dengan kerjasama IJN Foundation untuk manfaat 200 ibu bapa dan penjaga pesakit pediatrik di Institut Jantung Negara (IJN).
Bank Islam turut memperuntukkan RM50,000 bagi menyantuni hampir 1,500 petugas media di seluruh negara serta menyalurkan zakat melebihi RM1.7 juta kepada golongan layak dan komuniti memerlukan.
Bagi memudahkan persiapan Aidilfitri, Bank Islam akan menyediakan perkhidmatan penukaran duit Raya menggunakan fit notes mulai minggu kedua Ramadan dari jam 9.30 pagi sehingga 1 petang di semua cawangan Semenanjung Malaysia dan 9 pagi sehingga 12.30 tengah hari di Malaysia Timur tertakluk kepada ketersediaan stok tunai.
Ringkasan AI
- Bank Islam Malaysia Berhad memperuntukkan lebih RM2.2 juta untuk aktiviti Ramadan, menggabungkan teknologi, kebajikan dan nilai ihsan
- Kempen Jom Cari Lailatul Qadar melalui aplikasi BIMB Mobile memudahkan bersedekah, berlangsung sehingga 20 Mac 2026
- Pada tahun 2025, kempen ini berjaya menyalurkan lebih RM2 juta kepada penerima manfaat
- Bank Islam menyokong pertumbuhan ekonomi lokal dengan menaja empat bazar Ramadan utama
- Menyediakan juadah berbuka puasa percuma dan menyantuni petugas media serta menyalurkan zakat melebihi RM1.7 juta



