Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak bermaksud beliau secara automatik akan dinamakan sebagai calon Perdana Menteri gabungan itu.
Tiada jaminan Ahmad Samsuri calon PM
Menurut laporan Berita Harian, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, jawatan Pengerusi PN adalah perkara berasingan daripada isu siapa yang akan diketengahkan sebagai Perdana Menteri sekiranya gabungan berkenaan memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Foto arkib: Bernama
Bekas Perdana Menteri itu berkata, setakat ini PN juga belum mengadakan sebarang perbincangan bersama parti komponen termasuk PAS berhubung penentuan calon Perdana Menteri.
“Ini lantikan sebagai Pengerusi PN bukan calon Perdana Menteri. Saya memetik kenyataan Tuan Ibrahim (Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) yang ada sebut bahawa ini untuk Pengerusi PN.
“Kalau hendak bercakap soal calon bagi Perdana Menteri itu isu lain.
“Itu tidak dibincangkan lagi… bila berbangkit mengenainya pernah saya dicalonkan (sebagai Perdana Menteri) pimpinan PAS kata, tidak… kita tidak mahu bincangkan soal itu lagi… jadi, saya fikir pendirian itu masih kekal,” katanya kepada media di Ibu Pejabat BERSATU, kelmarin.
Artikel lain: Kelayakan Samsuri sebagai calon PM dipersoal – “Takkan anjur RX-Z jadi kayu ukur?” – UMNO Kedah
Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN pada 22 Februari lalu sebulat suara melantik Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi baharu gabungan itu bagi menggantikan Muhyiddin yang melepaskan jawatan berkenaan pada 30 Disember 2025.
Foto arkib: Bernama
Muhyiddin menjelaskan, sebelum ini BERSATU berpandangan kerusi pengerusi wajar disandang pemimpin yang lebih senior malah parti itu turut berpendirian presiden parti sepatutnya memimpin gabungan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, PN menghormati ketegasan PAS yang mencadangkan Ahmad Samsuri untuk menerajui gabungan itu sekali gus menerima pelantikan berkenaan.
Sumber: Berita Harian (Suzalina Halid)




