Kyiv: Juara tinju dunia, Oleksandr Usyk, mendedahkan perancangan besarnya untuk mencontohi Volodymyr Zelensky dengan menyasarkan jawatan Presiden Ukraine selepas bersara daripada gelanggang.
Raja pound-for-pound itu dijangka menamatkan kariernya dalam tempoh dua tahun lagi selepas berjaya menawan dua kategori berat sepanjang perjalanan gemilangnya.
Petinju berusia 39 tahun itu merancang untuk terus bertarung beberapa tahun sebelum menutup tirai karier yang layak digelar bertaraf Hall of Fame.
Selepas selesai berdepan barisan heavyweight terbaik dunia, Usyk berhasrat untuk bertanding bagi jawatan tertinggi di tanah airnya.
Dalam temu bual bersama Andriy Bednyakov, bekas raja cruiserweight itu berkata: “Saya merancang untuk terus bertinju beberapa tahun lagi.
“Selepas itu saya ada perancangan untuk berkhidmat kepada negara.
“Saya tidak akan menyasarkan jawatan lebih rendah daripada presiden.”
Menurut tinjauan tahap kepercayaan, Usyk mampu memperoleh lebih banyak undi berbanding Zelensky sekiranya pilihan raya diadakan di negara yang sedang berdepan peperangan itu.
Kajian terbaharu Ipsos menunjukkan dia memiliki kadar kepercayaan lebih tinggi berbanding pemimpin tentera, Kirill Budanov, dan Zelensky.
Usyk mencatat kadar kepercayaan 56 peratus, hanya di belakang Valerii Zaluzhnyi, duta Ukraine ke United Kingdom, yang merekodkan 63 peratus.
© New Straits Times Press (M) Bhd




