Syria kerahkan ribuan tentera ke sempadan Lubnan

Syria kerahkan ribuan tentera ke sempadan Lubnan

Damsyik: Kementerian Pertahanan Syria mengukuhkan sempadannya dengan Lubnan susulan merebaknya konflik di rantau ini, termasuk antara Israel dan Hizbullah.

Susulan itu, lapan sumber Syria dan Lubnan berkata, pengukuhan itu membabitkan unit roket dan pengerahan ribuan tentera.

Sumber berkenaan termasuk lima pegawai tentera Syria, seorang pegawai keselamatan Syria dan dua pegawai keselamatan Lubnan yang bercakap tanpa nama.

Kementerian Pertahanan Syria berkata, penempatan tentera sepanjang sempadan Syria dengan Lubnan dan Iraq adalah usaha untuk ‘melindungi dan mengawal sempadan susulan konflik serantau yang meningkat’.

Kata kementerian itu, unit yang ditempatkan adalah batalion pengawal sempadan dan pengintip bagi memantau aktiviti sempadan dan membanteras penyeludupan.

Pegawai Syria berkata, operasi pengukuhan tentera Syria bermula pada Februari dan dipercepatkan dalam beberapa hari kebelakangan ini.

“Langkah itu bertujuan menghalang penyeludupan senjata dan dadah serta menyekat Hizbullah atau militan lain daripada menembusi Syria.

“Formasi tentera dari beberapa divisyen, termasuk Divisyen ke-52 dan ke-84, memperluas kehadiran mereka di barat Homs dan selatan Tartus.

“Pengukuhan itu termasuk unit infantri, kenderaan berperisai dan pelancar roket jarak pendek Grad dan Katyusha,” katanya.

Sementara itu, pegawai keselamatan Syria menegaskan, Damsyik tiada rancangan menyerang mana-mana negara jiran tetapi bersedia menghadapi sebarang ancaman keselamatan.

Bagaimanapun, langkah itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan beberapa pegawai Eropah dan Lubnan mengenai kemungkinan pencerobohan.

Pegawai tentera Syria juga menafikan sebarang rancangan menyerang dan menegaskan Syria mahu hubungan seimbang dengan Lubnan, selepas dekad hubungan tegang dan sokongan Hizbullah kepada kerajaan Bashar al-Assad semasa perang saudara.

Israel terus menyerang selatan Lubnan dan selatan Beirut selepas Hizbullah menyambung tembakan ke atas Israel pada 2 Mac, menyebabkan ribuan penduduk Lubnan melarikan diri ke Syria.

Dalam pada itu, Syria menegaskan penempatan pelancar roketnya adalah langkah defensif terhadap sebarang tindakan Hizbullah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top