syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Melayu memang mudah dengki ke dengan Melayu?” Itu pertanyaan seorang rakan bukan Melayu kepada penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob susulan teguran seorang cef terhadap pencipta kandungan dalam talian dengan nada kasar, baru-baru ini.
Fazley, 48, menerusi hantaran di aplikasi Threads, hari ini menyuarakan pendapatnya mengenai etika menegur dalam komuniti tukang masak dan industri kulinari secara amnya.
Menurut Fazley, isu utama bukanlah mengenai siapa yang melakukan kesilapan, sebaliknya cara teguran itu disampaikan yang dianggap kurang berhemah.
“Masalah dekat sini bukan siapa yang paling bersalah, tapi cara kita menegur. Contohnya, ‘Bangang eh kau panggil butter (mentega) itu marjerin?!’ berbanding ‘Maaf dik, itu bukan butter, itu dikategorikan sebagai marjerin!” tulisnya.
Pemenang MasterChef Selebriti Malaysia itu menegaskan amalan menegur dan mendidik sangat digalakkan dalam ‘dunia dapur’, namun tidak seharusnya disertakan dengan niat untuk memalukan orang lain.
Menurutnya, sikap segelintir individu yang merasakan diri mereka ‘terpaling hebat’ hanya akan menimbulkan suasana negatif dalam masyarakat.
“Menegur dan mendidik sangat digalakkan dalam dunia dapur ini. Tapi budaya merendah-rendahkan orang dan rasa terpaling hebat, itu yang mengundang rasa jengkel,” tulisnya.
Terdahulu, pempengaruh dan pencipta kandungan masakan, Che Sayang Kitchen ditegur oleh seorang pengguna Threads mengenai proses masakannya.
Namun, teguran itu dilontarkan secara tidak berhemah dan mendapat perhatian netizen yang kemudiannya ‘menyerang’ dan menulis ulasan negatif serta memberi bintang rendah kepada kedai milik individu itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




