Konflik Asia Barat: Lebih 20,000 penerbangan dibatalkan

Konflik Asia Barat: Lebih 20,000 penerbangan dibatalkan

INDUSTRI penerbangan dan pelancongan global bergelut menangani kesan konflik udara yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran apabila lebih 20,000 penerbangan dibatalkan dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Kerajaan di seluruh dunia turut bergegas membawa pulang rakyat masing-masing dari Asia Barat selepas puluhan ribu penumpang terkandas di lapangan terbang utama rantau itu.

Hab penerbangan utama Teluk seperti Dubai, lapangan terbang antarabangsa paling sibuk di dunia bagi penerbangan antarabangsa, masih ditutup atau beroperasi secara terhad untuk hari keempat berturut-turut.

Menurut data Flightradar24, kira-kira 21,300 penerbangan dibatalkan di tujuh lapangan terbang utama, termasuk Dubai, Doha dan Abu Dhabi sejak serangan bermula.

Konflik itu turut menjejaskan perjalanan udara di rantau yang semakin berkembang sebagai pusat perniagaan global, sekali gus menjejaskan usaha beberapa negara Asia Barat untuk mempelbagaikan ekonomi mereka yang sebelum ini bergantung kepada minyak.

Selain itu, krisis tersebut turut mengecilkan lagi koridor penerbangan jarak jauh antara Eropah dan Asia, sekali gus menyukarkan operasi syarikat penerbangan antarabangsa.

Penumpang terkandas, operasi pemindahan dilancar

Penumpang yang terkandas di seluruh Teluk bergegas mendapatkan tempat dalam penerbangan khas yang terhad ketika beberapa kerajaan melancarkan operasi membawa pulang rakyat masing-masing.

Syarikat penerbangan utama seperti Emirates, flydubai dan Etihad Airways mula mengendalikan beberapa penerbangan terhad sejak Isnin, kebanyakannya bagi membawa pulang penumpang yang terkandas.

Ketua Pegawai Eksekutif firma perunding pelancongan PC Agency, Paul Charles berkata, situasi itu merupakan gangguan terbesar kepada industri penerbangan sejak pandemik Covid-19.

Menurutnya, selain gangguan kepada penumpang, kesan terhadap sektor kargo udara sahaja boleh mencecah berbilion dolar.

Gangguan turut menjejaskan operasi kargo kerana kebanyakan syarikat penerbangan turut membawa barangan dalam ruang kargo pesawat penumpang.

Syarikat logistik global FedEx berkata, ia menggunakan langkah kontingensi bagi memastikan operasi penghantaran di Asia Barat dapat diteruskan di mana yang boleh.

Operasi evakuasi kecemasan

Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan sebanyak 60 penerbangan kecemasan telah beroperasi melalui koridor udara khas dan lebih 80 penerbangan tambahan akan dilaksanakan pada fasa seterusnya.

Sementara itu, kerajaan AS turut mengatur penerbangan tentera dan pesawat sewa khas bagi memindahkan rakyat Amerika dari Timur Tengah.

Seorang pegawai Jabatan Negara AS berkata, pihaknya sedang berhubung dengan hampir 3,000 warga AS di rantau tersebut.

Kos bahan api tekan industri

Konflik yang semakin meluas turut menyebabkan harga minyak mentah meningkat dengan ketara, sekali gus meningkatkan kos bahan api jet.

Harga minyak penanda aras global meningkat kira-kira 30 peratus setakat tahun ini, menekan margin keuntungan syarikat penerbangan.

Menurut laporan kewangan terkini Delta Air Lines, setiap kenaikan satu sen harga bahan api jet bagi setiap gelen boleh meningkatkan bil bahan api tahunan syarikat itu sebanyak kira-kira AS$40 juta (RM156 juta).

Penganalisis Third Bridge, Peter McNally berkata, kenaikan 10 peratus harga bahan api jet boleh menambah kira-kira AS$1 bilion (RM3.9 bilion) kepada bil bahan api Delta pada 2026.

Saham syarikat penerbangan menjunam

Saham syarikat penerbangan global turut terjejas susulan konflik tersebut.

Di AS, saham Southwest Airlines susut kira-kira 1 peratus, manakala Alaska Air turun sekitar 2 peratus.

Di Eropah, saham Wizz Air, IAG (pemilik British Airways), Lufthansa dan Air France-KLM masing-masing merosot antara 5 hingga 8 peratus.

Di Asia pula, saham Japan Airlines jatuh 6.4 peratus, manakala Korean Air Lines merosot 10.3 peratus, penurunan terbesar sejak Mac 2020.

Saham syarikat penerbangan China seperti Air China dan China Southern Airlines turut susut antara 2 hingga 4 peratus di pasaran Hong Kong dan Shanghai. – Agensi

Ringkasan AI

  • Industri penerbangan dan pelancongan global terjejas akibat konflik udara antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran dengan lebih 20,000 penerbangan dibatalkan
  • Kira-kira 21,300 penerbangan dibatalkan di tujuh lapangan terbang utama termasuk Dubai, Doha dan Abu Dhabi sejak serangan bermula
  • Konflik itu menjejaskan perjalanan udara dan usaha negara Asia Barat mempelbagaikan ekonomi daripada bergantung kepada minyak
  • Gangguan kepada penumpang dan operasi kargo udara dianggap gangguan terbesar kepada industri penerbangan sejak pandemik Covid-19
  • Harga minyak mentah meningkat dengan ketara akibat konflik tersebut, meningkatkan kos bahan api jet dan menekan margin keuntungan syarikat penerbangan
Scroll to Top