Tehran: Israel pada awal hari ini melancarkan serangan baharu ke atas Iran, manakala tentera Amerika Syarikat (AS) berkata, mereka sudah menyerang hampir 2,000 sasaran di republik Islam itu.
Iran membalas dengan memperluas serangan peluru berpandu dan dron di seluruh rantau Teluk, termasuk di Dubai dan Qatar.
Presiden AS, Donald Trump berkata, Tentera Laut AS bersedia mengiringi kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz yang penting, susulan kenaikan harga tenaga global.
Tentera Israel pula berkata, mereka melancarkan gelombang serangan besar-besaran selepas tengah malam tadi, susulan serangan peluru berpandu Iran ke Israel yang menyebabkan seorang wanita cedera ringan.
Komander Markas Pemerintahan Pusat AS, Laksamana Brad Cooper berkata, serangan AS mensasarkan peluru berpandu balistik dan semua senjata yang boleh menembak ke arah pasukan mereka.
Difahamkan, serangan AS dan Israel membunuh 787 orang di Iran, menurut Bulan Sabit Merah Iran, walaupun angka itu tidak disahkan secara bebas.
Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggesa, rakyat Iran bangkit, tetapi Trump menegaskan perubahan rejim bukan matlamat.
Serangan turut menjejaskan Lubnan, di mana Hizbullah melancarkan dron dan roket ke Israel sebagai balasan atas pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Bagaimanapun, serangan Israel di Lubnan membunuh sekurang-kurangnya 52 orang dan memindahkan lebih 30,000 penduduk, manakala Israel menggerakkan tentera untuk mewujudkan zon penampan.
Di Tehran, lapangan terbang Mehrabad rosak dan tentera Israel menyerang fasiliti bawah tanah yang didakwa digunakan untuk program nuklear rahsia.
Penduduk Tehran yang tidak melarikan diri kekal berkurung di rumah kerana takut dengan pengeboman, manakala pegawai polis dan pasukan keselamatan menjalankan pemeriksaan rawak di persimpangan utama.
Terdahulu, menurut pihak berkuasa Iran, serangan ke atas sekolah di bandar Minab pada hari pertama perang membunuh lebih 150 orang.
AS menggesa rakyatnya meninggalkan rantau ini, manakala beberapa negara Teluk, termasuk Qatar, Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), melaporkan serangan dron dan peluru berpandu serta kesan kebakaran di beberapa lokasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




