2.85 juta kanak-kanak Malaysia obesiti

2.85 juta kanak-kanak Malaysia obesiti

ercy.gracella@bh.com.my

Kuala Lumpur: Lebih 2.85 juta kanak-kanak Malaysia berusia lima hingga 19 tahun mengalami berat badan berlebihan atau hidup dengan obesiti pada 2025.

Dapatan itu terkandung dalam laporan terbaharu World Obesity Federation menerusi World Obesity Atlas 2026 dikeluarkan sempena Hari Obesiti Sedunia, hari ini.

Daripada jumlah keseluruhan, 866,000 kanak-kanak berusia antara lima hingga sembilan tahun dilaporkan obesiti, manakala baki 1.9 juta pula kanak-kanak berusia 10 hingga 19 tahun.

Menurut laporan berkenaan, menjelang 2040, jumlah kanak-kanak sekolah di Malaysia yang berlebihan berat badan dijangka meningkat melepasi 3.1 juta orang.

Lebih membimbangkan, kira-kira 305,000 kanak-kanak dijangka menunjukkan tanda awal hipertensi manakala 382,000 lagi berisiko mengalami penyakit kardiovaskular menjelang 2040 akibat obesiti.

Pertubuhan itu turut memberi amaran, dunia dijangka gagal mencapai sasaran global 2025 untuk menghentikan peningkatan obesiti kanak-kanak.

Menurut laporan sama, walaupun sasaran dilanjutkan ke 2030, kebanyakan negara juga masih ketinggalan.

Secara global, seramai 507 juta kanak-kanak diramal hidup dengan berat badan berlebihan atau obesiti menjelang 2040 jika trend semasa berterusan.

Menurut laporan berkenaan, Malaysia di kedudukan ke-87 dunia daripada 196 negara yang dinilai.

Dalam konteks ASEAB pula, Malaysia berada dalam kelompok negara dengan beban obesiti kanak-kanak yang signifikan, seiring peningkatan pesat di rantau Asia Tenggara.

Laporan itu mengunjurkan rantau Asia Tenggara bakal mencatat kadar peningkatan tertinggi dunia bagi kanak-kanak sekolah hidup dengan obesiti iaitu mencecah 40 juta orang berusia lima hingga 19 tahun menjelang 2040.

Secara keseluruhan, prevalens kanak-kanak dengan indeks jisim badan (BMI) tinggi di rantau ini dijangka mencapai 101 juta menjelang tempoh sama.

Walaupun obesiti sebelum ini sering dikaitkan dengan negara berpendapatan tinggi, laporan itu mendapati peningkatan kini berlaku lebih pantas di negara berpendapatan rendah dan sederhana, termasuk di Asia Tenggara.

World Obesity Atlas 2026 turut menunjukkan tindakan menangani obesiti kanak-kanak masih tidak mencukupi di banyak negara, merangkumi aspek pencegahan, pemantauan, saringan dan pengurusan.

Ketua Pegawai Eksekutif World Obesity Federation, Johanna Ralston berkata, peningkatan obesiti kanak-kanak global membuktikan ia tidak ditangani secara serius.

“Kerajaan perlu segera memperkukuh usaha pencegahan dan pengurusan bagi kanak-kanak yang hidup dengan berat badan berlebihan dan obesiti, serta memastikan mereka menerima rawatan sewajarnya,” katanya.

Beliau turut menggesa pelaksanaan dasar tegas termasuk pelaksanaan cukai minuman bergula, sekatan pemasaran makanan tidak sihat kepada kanak-kanak termasuk di platform digital.

“Selain itu peluasan akses aktiviti fizikal, perlindungan penyusuan ibu, piawaian makanan sekolah lebih sihat serta integrasi pencegahan dan rawatan dalam sistem penjagaan kesihatan primer.

“Tiada alasan untuk menangguhkan pelaksanaan langkah berkesan kerana kegagalan bertindak berisiko menghukum satu generasi dengan obesiti serta penyakit tidak berjangkit kronik yang boleh membawa maut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top