am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 72 daripada 99 kontena yang diperiksa dalam Operasi Bongkar Kontena Siri 1/2026 di Pelabuhan Klang, didapati mengandungi buangan terjadual termasuk sisa elektronik atau e-waste.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan, hari ini memaklumkan operasi khas itu digerakkan bermula semalam disertai pegawai dari Ibu Pejabat JAS, JAS Selangor, JAS Kuala Lumpur dan JAS Negeri Sembilan.
“Sebanyak 45 kontena diperiksa, semalam dan 40 daripadanya didapati mengandungi buangan terjadual, dengan 22 kontena dikenal pasti sebagai sisa elektronik.
“Pada hari ini pula, sebanyak 54 kontena diperiksa dan 32 daripadanya mengandungi buangan terjadual, dengan 25 kontena merupakan sisa elektronik,” katanya.
Tambah kenyataan itu, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan pengimportan buangan terjadua
“Tindakan tegas akan diambil termasuk pengeluaran notis pemulangan semula kontena ke negara asal mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM10 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Tindakan penguatkuasaan juga boleh dibuat mengikut Seksyen 43 akta sama terhadap ejen atau syarikat perkapalan yang gagal mematuhi prosedur pengimportan yang ditetapkan,” katanya.
Menurut JAS, penguatkuasaan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam melindungi alam sekitar serta memastikan Malaysia tidak dijadikan destinasi pelupusan buangan haram.
JAS turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar atau pengimportan buangan secara haram melalui talian bebas tol 1800882727, emel aduan_k@doe.gov.my atau portal e-Aduan di https://eaduan.doe.gov.my.
Operasi Bongkar Kontena Siri 1/2026 turut disokong Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) serta SIRIM bagi memastikan penguatkuasaan dijalankan secara bersepadu.
Operasi dilaksanakan susulan lawatan kerja Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam ke Pelabuhan Klang pada 28 Februari lalu bagi meninjau status penahanan kontena sisa elektronik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




