am@hmetro.com.my
Yan: Tindakan peniaga sebuah gerai di Jalan Sungai Limau, di sini menyediakan bungkusan plastik biru yang mengandungi makanan kononnya untuk bukan Islam hanya helah untuk mengaburi pihak berkuasa.
Ini kerana taktik plastik hitam itu sudah lapuk dengan kaki ponteng puasa menyebabkan peniaga menggunakan taktik baru menggunakan plastik biru.
Ia dikesan ketika operasi yang dijalankan oleh penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Yan dalam Ops Ramadan yang dilakukan hari ini.
Ketika serbuan dilakukan, peniaga turut memberi alasan hanya menyiapkan tempahan pelanggan untuk bukan Islam ketika gerai mereka diserbu namun menimbulkan curiga menyebabkan pemeriksaan lanjut dilakukan.
Operasi bersepadu itu turut disertai pegawai dan anggota Pejabat Kesihatan Daerah Yan serta Majlis Daerah Yan.
Ketua Unit Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Yan, Mohamad Tarmizi A Karim berkata, pemeriksaan bermula sekitar jam 10.30 pagi itu mendapati terdapat makanan dan minuman siap dibungkus dalam plastik biru di gerai makan berkenaan.
Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, terdapat dua wanita berusia lewat 40-an dan 50-an sedang menyiapkan tempahan pelanggan di gerai berkenaan.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, didapati kedua-dua wanita terbabit sedang memasak dipercayai untuk menyiapkan tempahan nasi bungkus dan minuman.
“Selain itu, terdapat juga makanan yang sudah siap diletakkan di satu tempat di gerai itu dan menunggu untuk diambil pelanggan.
“Dua wanita terbabit memberi alasan memasak bukan kerana mahu menyediakan makanan untuk kaki ponteng puasa, tetapi mendakwa bungkusan kira-kira 20 bungkus nasi itu ditempah oleh seorang pelanggan bukan Islam,” katanya.
Mohamad Tarmizi berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah (EKJSNK) 2014 kerana tidak menghormati bulan Ramadan.
Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan notis terhadap kedua-dua wanita terbabit supaya hadir ke Pejabat Agama Daerah Yan bagi tujuan siasatan lanjut.
“Selain itu mereka juga dikenakan Perintah Penutupan Premis bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selama 14 hari susulan keadaan premis yang kotor.
Mohamad Tarmizi berkata, serbuan kedua di lokasi di Jalan Baru Bukit Besar mendapati nasi dan dua jenis lauk telah disediakan meski pun baru jam 11.21 pagi.
Katanya, peniaga terbabit memberi alasan makanan itu hanya disediakan untuk kanak-kanak yang tidak berpuasa sementara ibu bapa mereka keluar bekerja.
“Peniaga terbabit turut disiasat dan diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Yan pada tarikh yang ditetapkan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Turut serta dalam operasi itu, Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Mohd Nazif Zakaria.
© New Straits Times Press (M) Bhd



