Konflik Timur Tengah boleh memuncak tapi perang dunia tidak mungkin berlaku – Pakar

Konflik Timur Tengah boleh memuncak tapi perang dunia tidak mungkin berlaku – Pakar

Kuala Lumpur: Ketegangan melibatkan Iran, rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS) boleh memuncak menjadi konflik serantau yang lebih luas, namun kemungkinan tercetusnya perang dunia kekal rendah, menurut pakar hubungan antarabangsa.

Profesor Pengajian ASEAN Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Phar Kim Beng berkata trajektori ketegangan semasa menunjukkan kemungkinan konflik terus memuncak susulan perkembangan ketenteraan baru-baru ini melibatkan AS dan Israel serta peningkatan ketegangan dengan Iran.

“Ini akan memuncak menjadi perang serantau yang lebih luas apabila perkembangan baru-baru ini melibatkan AS dan Israel telah meningkatkan ketegangan dengan Iran, walaupun rundingan terdahulu dilihat menunjukkan kemajuan ke arah denuclearisation,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Beliau berkata ketiadaan pengantaraan pihak ketiga yang berwibawa memburukkan lagi keadaan, sambil menyatakan bahawa persekitaran diplomatik semasa kekurangan pengantara berkesan untuk menggalakkan rundingan semula antara Iran, Israel dan AS.

Phar berkata walaupun terdapat tawaran pengantaraan, kekosongan itu serta komitmen jelas semua pihak terhadap pendekatan ketenteraan boleh membawa kepada konflik yang terus memuncak dan semakin meluas.

Mengulas kebimbangan mengenai senario “Perang Dunia Ketiga”, beliau berkata risiko itu kekal rendah kerana kuasa besar dunia tidak cenderung menyokong peningkatan konflik sedemikian.

“Perang Dunia Ketiga tidak mungkin berlaku kerana kuasa besar dunia termasuk Rusia, China, United Kingdom (UK) dan Perancis tidak cenderung menyokong konflik yang lebih luas. “Sebaliknya, China, UK, Perancis dan Rusia lebih memilih agar perang dihentikan,” katanya.

Beliau menambah bahawa beberapa negara telah mula menjauhkan diri daripada konflik itu, dengan merujuk laporan bahawa Sepanyol menolak permintaan bagi penggunaan pangkalan tenteranya bagi operasi berkaitan konflik berkenaan.

Phar yang juga Pengarah Institut Pengajian Antarabangsa dan ASEAN (IINTAS), berkata Rusia dan China masih boleh memainkan peranan diplomatik melalui Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menggesa pengurangan ketegangan.

Dari sudut ekonomi, beliau memberi amaran bahawa gangguan di Selat Hormuz, laluan maritim penting bagi bekalan minyak global boleh memberi kesan yang meluas.

“Bergantung kepada sama ada ekonomi sesebuah negara bergantung kepada tenaga minyak dan gas dari Selat Hormuz serta tahap pendedahan ekonomi terhadap peristiwa global, kesannya boleh menjadi teruk,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa ekonomi yang sangat terbuka seperti Singapura dan Malaysia amat sensitif terhadap kejutan global.

Sementara itu, pakar hubungan antarabangsa dan pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Dr Nor Aishah Hanifa berkata tempoh konflik ini sebahagian besarnya bergantung kepada kepimpinan politik dan pengantaraan antarabangsa.

“Jika saya seorang realis, saya akan mengatakan bahawa saya skeptikal mengenai keamanan; perang akan berlarutan memandangkan keupayaan peluru berpandu Iran.

“Namun saya mahu mempercayai pemikiran liberal yang optimis mengenai janji proses damai dan berakhirnya perang.

“Biasanya, perang akan memuncak apabila pemimpin politik tidak bersedia berkompromi dan terus mengejar pilihan ketenteraan,” katanya kepada Bernama.

Nor Aishah berkata usaha diplomatik serta keputusan yang rasional oleh kuasa besar dunia masih mampu mencegah konflik daripada terus memuncak.

“Saya mahu mempercayai kerasionalan negara Eropah mengenai keamanan serta kerasionalan Kongres AS, khususnya senator Demokrat, untuk terus teguh menyokong keamanan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kepimpinan politik masih boleh mempengaruhi hala tuju konflik itu.

“Pada masa yang sama, sesetengah pemimpin politik mungkin memihak kepada pendekatan yang lebih konfrontasi yang boleh menyumbang kepada konflik yang semakin memuncak,” katanya.

Tambahan pula, beliau berkata Malaysia mungkin mengalami gangguan sementara terhadap hubungan diplomatik dan ekonomi akibat konflik berkenaan.

“Mungkin berlaku gangguan sementara terhadap penglibatan diplomatik Malaysia berikutan ketidaktentuan yang berlaku, namun keadaan dijangka kembali normal sebaik sahaja perang berakhir,” katanya sambil menambah bahawa konflik itu boleh menjejaskan hubungan perjalanan, perdagangan, pelaburan dan pendidikan dengan negara di Timur Tengah.

Nor Aishah berkata Rusia mungkin lebih memihak kepada penyelesaian melalui rundingan memandangkan negara itu masih terlibat secara mendalam dalam perang di Ukraine dan mungkin tidak mempunyai keupayaan untuk terlibat dalam satu lagi konflik ketenteraan besar.

Beliau turut menyifatkan China sebagai aktor yang berhati-hati dan pragmatik yang berkemungkinan mengutamakan kestabilan, sambil menyatakan bahawa China secara konsisten menyeru supaya konflik itu ditamatkan dan sebelum ini turut menjalankan kerjasama ketenteraan dengan Iran, termasuk latihan tentera laut melibatkan Iran dan Rusia sebelum ketegangan terbaharu ini memuncak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top